Oleh Muhammad Aiman
Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon tekad mahu memastikan namanya berada dalam senarai 23 pemain terakhir Malaysia yang akan membawa cabaran di Piala AFF Suzuki di Myanmar bulan ini meskipun masih dihimpit kecederaan lama yang belum pulih sepenuhnya.
Kecederaan bahu yang dialami Syazwan lebih kurang dua musim lalu sedikit menjejaskan prestasinya musim ini, namun ia tidak menghalang pemain berusia 26 tahun itu menyerlah sebagai antara tonggak utama membantu Lang Merah muncul juara Piala Malaysia hujung bulan lalu.
Menurut Syazwan, “Bahu saya terkehel ketika perlawanan Liga Premier dua musim lepas, saya sepatutnya menjalani pembedahan untuk membetulkannya, tetapi Kedah memerlukan khidmat saya dan saya teruskan bermain.
“Memang masih terasa kesakitan dan saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan bahu saya terkeluar. Ia memberi lebih kesan kepada saya musim ini, tetapi saya rasa situasi saya masih dalam keadaan terkawal. Jadi, tidak ada keperluan untuk terburu-buru lakukan pembedahan.”
Bekas pemain Harimau Muda itu sebelum ini pernah tersisih dari skuad Sukan Sea Laos 2009 kerana kecederaan justeru determinasi dan semangatnya cukup tinggi agar tidak terlepas satu lagi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan.
Begitupun, perlu diakui ianya tidak mudah buat Syazwan untuk merebut tempat dalam skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee apatah lagi dia perlu bersaing sengit dengan beberapa pemain senior seperti Amri Yahyah, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Baddrol Bakhtiar selain pemain muda meningkat naik Hadin Azman bagi posisi sayap kiri.
Peluang terbaik untuk Syazwan membuktikan kebolehan adalah ketika perlawanan persahabatan menentang pasukan di ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea pada 14 November depan di Stadium Shah Alam.
Kim Swee yang berdepan cabaran getir mempersiapkan pasukan setelah melalui pelbagai kontroversi pemilihan pemain akan mengumumkan senarai 23 pemain untuk dibawa ke Yangon selepas membuat penilaian akhir pada perlawanan itu.
“Saya tahu ianya sukar. Ramai pemain Harimau Muda dari batch saya (2009) seperti Khairul Fahmi (Che Mat), Zaquan Adha, Fakri (Saarani) sudah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain utama pasukan, saya pun mahu menjadi seperti mereka. Perlawanan menentang PNG adalah cukup penting bagi pasukan dan juga pemain baru seperti saya, saya perlu buat yang terbaik untuk memikat Kim Swee.”
Harimau Malaysia dijadual berlepas ke Yangon pada 16 November dan akan membuka tirai saingan Piala AFF Suzuki Kumpulan B menentang Kemboja pada 20 November, diikuti Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).