Syed Saddiq Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan baru bersama sama 12 lagi Menteri Kabinet dan 23 Timbalan Menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini.
Ahli Parlimen Muar ini mengetuai istiadat berkenaan sekaligus menjadi menteri termuda di Malaysia.
“Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.
“Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini, sesungguhnya ia adalah amanah yang amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama seluruh anggota Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan,” katanya menerusi laporan media tempatan.
Tambah Syed Saddiq lagi, golongan muda akan dijadikan peneraju utama dalam pembangunan negara menerusi pelbagai dasar dan rancangan yang akan dilakukan kelak.
Malah, kerajaan akan memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil selain menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, pula disandang Steven Sim Chee Keong.