Sejak awal tahun 2016 sehingga pertengahan tahun ini, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed merupakan penjaga gol utama skuad B-22 kebangsaan kendalian Dato’ Ong Kim Swee.
Namun, kecederaan patah tangan kanan yang dialami ketika skuad B-22 negara menentang Felda United dalam satu aksi persahabatan pada Jun lalu menyebabkan pemain itu yang juga penjaga gol Piala Presiden Kelantan terpaksa disisihkan lebih lima bulan.
Ia sekaligus membuka ruang buat dua penjaga gol – Haziq Nadzli (Johor Darul Takzim) dan Ifwat Akmal Che Kassim (Kedah) untuk diberi kepercayaan sebagai benteng terakhir pasukan dan kedua-duanya tidak mengecewakan.
Masing-masing cemerlang ketika pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada Julai dan sebulan selepas itu membantu skuad negara memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kini kecederaan Syihan sudah pulih, dia kembali dengan motivasi baru dan keyakinan tinggi ketika latihan pusat skuad B-22 negara di Wisma FAM dan menyatakan kesediaan untuk kembali merebut tempatnya di dalam pasukan.
“Terima kasih kepada jurulatih kerana masih memberi kepercayaan kepada saya, saya mahu gunakannya sebaik mungkin. Saya anggap kegagalan beraksi di kelayakan AFC dan Sukan SEA itu bukan rezeki saya, kini saya mahu bermula semula.
“Saya sudah boleh berlatih seperti biasa, tangan saya sudah sembuh sepenuhnya dan pergerakan juga tidak terganggu, tiada lagi rasa sakit. Azam saya yang pertama adalah meyakinkan jurulatih untuk menyenaraikan nama saya dalam senarai akhir 23 pemain bagi beraksi di pusingan akhir Kejuaraan AFC, dan kemudiannya memecah masuk ke dalam kesebelasan utama.
“Sudah tentu ia bukannya mudah kerana penjaga gol yang dipanggil semuanya bagus, saya perlu bekerja keras. Saya perlu buktikan prestasi saya sudah kembali ke tahap sebenar, bukan sahaja untuk merampas jersi nombor satu skuad B-22, tetapi jika boleh cuba mengintai tempat dalam skuad senior,” ujar pemain berusia 21 tahun itu.
Selain Ahmad Syihan, Ifwat dan Haziq, penjaga go lain dipanggil Kim Swee dalam senarai awal 30 pemain menjalani latihan pusat adalah penjaga gol Terengganu, Amierul Hakim Awang.
Kim Swee dijangka mengumumkan senarai akhir 23 pemain sebelum pasukan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember depan. Mereka akan menjalani latihan selama dua minggu di sana sebelum terbang ke Nanjing, China pada 30 Disember.
Malaysia akan membuka tirai Kumpulan C pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 dengan menentang Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari). Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN