Penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva akui rindu dengan sorakan penonton di stadium namun percaya sokongan mereka tidak pernah mati meskipun hanya dari luar stadium.
Da Sylva menyifatkan aura yang ditonjolkan penyokong TFC adalah luar biasa apabila bertandang ke stadium, namun kali ini pasukan terpaksa akur apabila penonton tidak dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan ekoran pandemik Covid-19.
Pemain kelahiran Mauritania ini dapat membayangkan bagaimana sorakan yang akan diterima pada saat TFC menang 2-0 ke atas PJ City FC pada perlawanan tertunda CIMB Liga Super, Sabtu lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Namun, begitulah suasana baharu yang perlu diterima oleh semua pasukan selepas ini bagi mengharungi saingan liga tanpa sorakan sebenar penonton di stadium dan untuk itu, hanya hadiah kemenangan sahaja diharap mampu memberi senyuman buat penyokong setia selepas ini.
“Bagi saya, penyokong adalah segala-galanya kerana mereka yang akan memberikan semangat dan aura kepada kami sebagai pemain ketika beraksi.
“Walaupun kami tidak dapat melihat mereka di stadium, tetapi kami tahu mereka tetap tengok kami beraksi di luar, dan mereka akan sentiasa berasa dalam hati pemain-pemain ini.
“Untuk itu, saya dan rakan-rakan kena memberikan segala-galanya di atas padang untuk menang dalam setiap perlawanan dan berharap penyokong akan rasa puas dengan apa yang pasukan telah lakukan”, jelasnya.
Penyerang berusia 31 tahun ini meledak dua jaringan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Terengganu sekaligus berjaya mengumpul enam gol dalam empat perlawanan setakat ini.
Jelas Da Sylva, dia sudah lama menanti saat ini untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif dan kemenangan berharga yang diraih Sabtu lalu cukup memberikan mereka semangat baharu untuk terus memberikan yang terbaik dalam tujuh lagi baki perlawanan akan datang.
“Saya pun tidak sangka dapat meraih enam gol setakat ini selepas empat perlawanan kerana saya hanya memberikan yang terbaik sahaja dalam padang.
“Tiada aksi kompetitif dalam tempoh lebih empat bulan sebenarnya bukan mudah dan kami satu pasukan memang bekerja keras untuk berada di tahap ini.
“Yang penting, kami kena teruskan latihan demi latihan dan fokus sebaiknya perlawanan akan datang yang pastinya lebih sukar”, katanya.
TFC ketika ini berjaya menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata selepas empat perlawanan dan bakal berdepan Sabah, Sabtu depan.