PELUMBA Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa mengulangi kecemerlangannya apabila memenangi Peringkat 8 dan terakhir PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) hari ini, mengulangi pencapaiannya dalam peringkat pertama tahun lalu.

Ia juga adalah kemenangan peringkat kedua dalam edisi ke-27 ini, selepas menang di Kota Bharu, dan pelumba Russia berusia 23 tahun itu menyimpan tenaga terakhirnya sebelum memecut ke garisan penamat, hanya sedikit menewaskan pelumba Caja Rural Seguros RGA, Daniel Babor dan pemegang jersi Raja Pecut KBS, Arvid De Kleinjn.

Syritsa mengetuai kelompok besar pelumba yang bermula di Setia Alam Convention Center dan menamatkan kayuhan sejauh 156.5km itu dengan masa 3 jam 12 minit 27 saat.

“Saya gembira menang lagi dalam LTdL 2023 ini, dan mengulangi lagi kejayaan di depan bangunan ikonik ini. Saya harap dapat berlumba lagi di sini dan menambah kemenangan lagi dalam LTdL dan di depan KLCC,” kata pelumba pasukan WorldTeam itu yang menang Peringkat 1 LTdL 2022 dari Seri Menanti ke KLCC pada tahun lalu.

Bagaimanapun, hari terakhir itu menyaksikan kegemilangan buat satu lagi pasukan WorldTeam, EF Education-EasyPost dan pelumbanya, Simon Carr yang mengesahkan gelaran individu dan juara berpasukan keseluruhan selepas tamat saingan lapan peringkat sejauh 1,278.1km itu.

Carr yang mula menyarung jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS sejak menang Peringkat 5 pendakian sukar berstatus Hors ke Genting Highlands, mengumpul catatan keseluruhan 29 jam 17 minit 41 saat, 49 saat di depan rakan sepasukannya Alexander Jefferson Cepeda.

Hasil kejayaan 1-2 di puncak Genting Highlands itu juga membantu EF Education mengumpul keseluruhan masa 87 jam 57 minit 01 saat untuk muncul Pasukan Terbaik, 2:18s di depan pencabar terdekat dari pasukan ProTeam Sepanyol, Euskaltel-Euskadi.

“Ini adalah minggu yang menakjubkan buat saya dan seluruh pasukan. Saya juga berbangga apabila mendapat tahu menjadi pelumba Britain pertama menang gelaran keseluruhan di sini.

“Kami mendapat pengalaman yang baik dalam perlumbaan di Asia, khususnya Malaysia. Sebenarnya, keyakinan mula datang pada Peringkat 3 (Jeli-Baling) di mana ketika saya berada dalam kelompok depan. Selepas itu, menang pula di Genting. Jadi saya mula sedar saya boleh menang gelaran individu keseluruhan di LTdL ini, walaupun ada banyak asakan pada setiap peringkat.

“Malah hari ini pun, perlumbaan sangat sukar kerana ada kelompok pelumba di depan yang terpaksa pasukan kami kejar. Selepas tamat perlumbaan tadi, saya rasa cukup lega. Dan seronok menamatkan saingan di depan menara ikonik KLCC, ibarat Champ de Elysees (Tour de France) dan Colosseum (Giro d’Italia).

“Saya harap dapat berlumba dan cuba pertahankan jersi hijau ini pada tahun depan. Malah, saya berharap kejayaan di Malaysia ini akan membuka ruang karier yang luas untuk berkayuh dalam perlumbaan lebih besar bersama EF,” kata pelumba 25 tahun kelahiran Hereford itu yang menebus kegagalan Hugh Carthy pada LTdL 2022 kepada pelumba Movistar, Ivan Sosa.

Turut cemerlang dalam edisi ke-27 ialah ialah pasukan ProTeam dari Switzerland yang tampil kali pertama dalam LTdL, Tudor Pro Cycling menerusi dua pelumbanya yang meraih dua jersi utama.

Pemenang Peringkat 1 dan 6, Arvid de Kleijn mengesahkan jersi oren Raja Pecut tajaan KBS dengan mata terkumpul 72 mata, 14 mata di depan Syritsa dan 17 mata di depan pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes yang menang di Seremban 2 semalam.

“Walaupun tidak menang hari ini, ia tetap penutup yang baik dalam LTdL ini kerana saya menang 2 peringkat dan jersi Raja Pecut. Ini adalah penampilan yang membanggakan buat Tudor,” kata pelumba 29 tahun itu.

Rakan sepasukannya, Simon Pellaud juga berbangga dengan jersi polka dot Raja Bukittajaan TOURISM MALAYSIA, yang dipegang sejak Peringkat 3 di Baling.

“Sejak datang ke Malaysia, saya sudah berasa senang dan bertenaga di sini. Malah hari inipun, saya cuba untuk menang peringkat. Itulah sebabnya saya cuba untuk meloloskan diri secara solo pada beberapa kilometer terakhir perlumbaan tadi,” kata pelumba Switzeland itu yang turut diisytihar sebagai ‘Most Combative Rider’ dan menerima anugerah BUBBLESO2 bagi peringkat penamat itu.

Dalam pada itu, pelumba Astana Vadim Pronskiy juga gembira dengan jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU selaku Pelumba Terbaik Asia yang disarung sejak Peringkat 5, berkelebihan 2:04 di depan pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG) dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar dan 4:49s di depan pelumba Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath dari Laos.

“Dulu (2019) saya datang sebagai pelumba muda (Astana Motors) ke LTdL ini. Sekarang saya semakin matang di dalam pasukan berstatus WorldTeam. Jadi saya tetap gembira kerana pada awalnya, saya hanya mensasarkan kedudukan tiga teratas,” kata pelumba 25 tahun yang berlumba di Vuelta a Espana sebelum terbang ke Malaysia.

Bagaimanapun, pasukan Continental Roojai Online Insurance yang berdaftar di Thailand muncul sebagai Pasukan Terbaik Asia, mengatasi Li Ning Star dan Thailand Continental Team.

Seperti biasa, Peringkat 8 juga menyaksikan banyak cubaan meloloskan diri sejak awal tetapi peloton yang diterajui dua pasukan WorldTeam, EF Education dan Astana sentiasa mengawal keadaan dan menangkap kumpulan depan, untuk membolehkan semua peringkat landai berakhir dengan pecutan beramai-ramai ke garisan penamat.

Hadir bagi menyampaikan hadiah adalah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Timbalannya, Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Datin Anita Azrina Abd Aziz dan   Pengerusi Jawatankuasa Pengelola LTdL 2023, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Turut hadir ialah Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris; Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu, YB Ustaz Hishammudin Abd Karim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh.

Dengan tema ‘Beat The Heat’, LTdL 2023 berstatus ProSeries ini dianjurkan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan 1,278.1km dan menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung.

 

KEPUTUSAN KESULURUHAN: 

 

PETRONAS Green Jersey (Overall Winner): 

Simon Carr (GBR) EF Education-EasyPost

 

TOURISM MALAYSIA Red Polka Dot Jersey (Mountains)

Simon Pellaud (SUI) Tudor Pro Cycling

 

KBS Orange Jersey (King of Sprints):

Arvid de Kleijn (NED) Tudor Pro Cycling 

 

BEAUTIFUL TERENGGANU White Jersey (Best Asian) 

Vadim Pronskiy (KAZ) Astana Qazaqstan Team 

 

BEST OVERALL TEAM: 

EF Education-EasyPost (USA) 

 

BEST ASIAN TEAM: 

Roojai Online Insurance (Thailand)

 

PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 Challenge Trophy: 

Simon Carr (GBR) EF Education-EasyPost

 

- Advertisement -