Permulaan tahun 2021 yang positif untuk kem Malaysia di saingan Yonex Terbuka Thailand apabila bergu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melakar kejutan di pusingan pertama hari ini.
Gandingan yang menduduki ranking ke 28 dunia ini menang ke atas bergu 25 dunia dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Chol dalam pertarungan tiga set, 21-16, 19-21, 21-11 selama sejam.
Satu lagi aksi bergu lelaki, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan seterusnya selepas menang ke atas Aaron Chia-Soh Wooi Yik straight set 21-7, 21-19.
Hasrat untuk melihat satu lagi kejutan, kali ini dalam acara bergu campuran tidak kesampaian apabila Hoo Pang Ron-Cheah Yee See kecundang di tangan bergu tuan rumah yang juga pilihan pertama, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Pang Ron dan Yee See menang di set pertama namun Dechapol-Sapsiree bangkit untuk menang di dua set berikutnya sekaligus mengesahkan kemenangan, 18-21, 21-16, 21-15.
Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie bagaimanapun menebus kehampaan Hoo Pang Roon-Cheah Yee See apabila mara ke pusingan kedua selepas melakar kemenangan ke atas gandingan dari Perancis, Ronan Labar-Anne Tran dalam aksi tiga set 21-16, 14-21,12-21,21-17.
Sementara itu, S Kisona melangkah ke pusingan kedua dalam aksi perseorangan wanita selepas lawannya Saina Nehwal tidak meneruskan saingan selepas didapati positif ujian ketiga Covid 19.