Pasukan taekwondo negara tekad mahu menoktahkan kemarau pingat emas di Sukan SEA sejak tiga edisi yang lalu apabila temasya itu berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.
Taekwondo tidak pernah gagal menyumbang emas buat kontijen negara sejak edisi Jakarta 1987 namun setelah Che Chew Chan menghadiahkan emas tunggal negara di Laos 2009, Malaysia masih menanti emas pertama dari sukan itu.
Pada 2011 di Palembang, skuad taekwondo negara meraih dua perak dan gangsa, manakala ketika di Myanmar 2013 mereka membawa pulang satu perak dan lima gangsa sebelum memperbaiki pencapaian itu di Singapura 2015 dengan meraih tiga perak dan tiga gangsa.
Pengurus pasukan, A.Jayarajen berkata, “Kita perlu manfaatkan kelebihan tempat sendiri setelah tidak begitu menyerlah dalam tiga temasya yang lalu. Kita mempunyai atlet-atlet yang berbakat besar dan sudah pastinya ia sesuatu yang mengujakan untuk melihat mereka menaiki podium.
“Ini detik masa yang terbaik untuk Malaysia kembali meraih emas dan memberi satu permulaan baru buat sukan ini. Kita mahu atlet meletak azam tinggi dan jadikan KL2017 sebagai tanda bermulanya era baru sukan taekwondo.”
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad taekwondo adalah ketika temasya Kuala Lumpur 1989 apabila memenangi 10 pingat emas dan lima gangsa. Manakala ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001, tiga pingat emas berjaya digenggam.
Taekwondo di KL2017 akan berlangsung dari 26-29 Ogos dengan mempertandingkan 16 pingat emas – lima dari disiplin poomsae dan 11 menerusi disiplin kyorugi dan Jayarajen percaya sekurang-kurangnya tiga pingat emas boleh dimenangi Malaysia kali ini berdasarkan prestasi semasa.
“Kita harapkan dua emas dari disiplin Poomsae (individu dan berpasukan) manakala satu lagi menerusi Kyorugi, sama ada ianya Rozaimi (Rozali) atau (Lian) Pei Ying. Kedua-dua mereka sandaran terbaik setelah memenangi emas di Kejohanan ATF di Kangar pada awal tahun ini.
“Begitupun saya percaya ada ramai atlet kita berpotensi sumbangkan emas. Kita mempunyai keyakinan tinggi terhadap mereka apatah lagi atlet-atlet kyorugi kita dihantar berlatih di Korea Selatan selama sebulan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA,” ujar Jayarajen. – OLEH MUHAMMAD AIMAN