Hari terakhir penuh debaran buat dua pemain, Shin Taewon dan juara 2016, Afif Fathi yang bertarung sehingga ke play off untuk menentukan siapakah juara bagi Kejohanan Golf 100PLUS Remaja Terbuka Malaysia edisi ke 12 tahun ini.
Shin Taewon ternyata beraksi dalam tekanan dan ia ternyata menggugat rentak permainannya sepanjang 18 lubang hari ini.
Tiada catatan birdie, sebaliknya, pemain berusia 17 tahun ini membenam lima bogey sepanjang hari sekaligus menutup hari ketiga dengan 76 pukulan empat di atas par.
“Saya agak tertekan hari ini kerana bermain dalam kumpulan pendahulu dan menjadi yang terakhir yang menamatkan hari ketiga.
“Perancangan asal saya adalah mahu bermain secara selamat dan hanya mencari catatan par, tetapi sebaliknya yang berlaku,”kata Shin Taewon.
Selepas tamat tiga pusingan, Shin Taewon mengumpul 217 pukulan satu diatas par.
Kejutan berlaku apabila juara tahun lalu, Afif Fathi bermain cemerlang pada hari terakhir selepas hambar di dua pusingan awal.
Memulakan hari terakhir dengan empat diatas par, Afif ternyata bemain aggresif sepanjang hari untuk melakar lima birdie di lubang 1,2,3, 11, 18 dan bogey dilubang 7 dan 10.
“Segalanya baik meskipun ada sedikit kesilapan tetapi saya berjaya bangkit dan bermain dengan baik untuk hari ini,”kata Afif.
Di penentuan playoff dilubang 8 (par 4), Afif ternyata goyah apabila melakar bogey, namun menarik nafas lega apabila Shin Taewon juga melakar bogey sekaligus mengheret aksi ke playoff kedua.
Playoff kedua di lubang ke 7 (par 4), Afif sekali lagi hambar dengan catatan bogey manakala Shin Taewon menutup playoff dengan catatan par sekaligus dinobat sebagai juara baru.
“Ketika playoff saya mengawal fokus untuk melakukan catatan yang terbaik, di lubangke 8, saya akui gugup seketika, namun di lubang 7, saya mampu mengawal permainan sehingga ke akhirnya.
“Kemenangan ini adalah yang pertama dalam karier saya dan berkemungkinan akan kembali semula untuk mempertahankan kejuaraan,”kataTaewon.
“Saya merasai tekanan walaupun permainan lebih baik berbanding Shin Taewon tetapi saya gagal meletakkan bola dalam kawasan green, kecewa tetapi akur dengan keputusan ini,”kata Afif lagi.
Dalam pada itu saingan kategori wanita menyaksikan pemain kelahiran Filipina, Mikhaela Fortuna muncul juara selepas mengumpul 208 pukulan lapan dibawah par.
Mikhaela menutup saingan hari terakhir dengan 68 pukulan empat dibawah par.
“Segalanya sengit sehinggalah dia (Winnie Ng Yu Xuan) melakar double bogey dan saya tahu ini mungkin peluang terbaik saya.
“Sudah tentu kemenangan sulung tahun ini memberikan semangat dan motivasi untuk saya kerana Ogos tahun depan saya akan memulakan pengajian di kolej tempatan,”kata Mikhaela.
Sembilan lubang pertama, pemain berusia 17 tahun ini hanya melepaskan bogey dilubang 3 namun cemerlang membenam empat birdie dilubang 2, 5, 8 dan 9.
Beliau menambah dua lagi birdie di lubang 11 dan 12 serta bogey kedua hari ini di lubang 13.
Statusnya sebagai pemenang semakin tinggi selepas Winnie membenam double bogey dan bogey di lubang 14 dan 15.
kekecewaan jelas terpancar di wajah Winnie Ng Yu Xuan yang mendahului saingan sejak hari pertama,
Namun penuntut Kolej Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan ini akur Mikhaela layak untuk bergelar juara.
“Saya banyak melakukan kesilapan hari ini dan Mikhaela layak untuk bergelar juara kerana dia merupakan pemain terbaik Filipina.
“Tiada tekanan sepanjang permainan khususnya di sembilan lubang pertama tetapi saya melakukan kesilapan dengan double bogey dan bogey di lima lubang terakhir,”kata Winnie.
Catatan 70 pukulan dua dibawah par yang dilakar Winnie tidak cukup untuk memintas atau sekurang kurangnya mengheret permainan ke play off selepas ketinggalan satu pukulan dibelakang Mikhaela.
Winnie melengkapkan tiga pusingan dengan catatan 209 pukulan tujuh dibawah par sekaligus muncul naib juara.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Datuk Kamal Harun, KonsultanPemasaranMinuman F&N Sdn Bhd.
Keputusan penuh
Lelaki
217 – Afif Fathi 73 75 69
217 – Shin Taewon (Korea Selatan) 67 74 76 (menang melalui playoff)
218 – Victor Ng Yu Kai 72 76 70
220 – Malcolm Ting Siong Hung 74 74
220 – K. Rhaasrikanesh 70 76 74
221 – V Ruhanraj 78 72 71
221 – Adam Arif Madzri 72 72 77
222 – Christoper Daniel James 78 73 71
222 – Donovan Lee (Singapura) 72 76 74
222 – Yar Zar Aung (Myanmar) 73 78 72
Perempuan
208 – Mikhaela Fortuna (Filipina) 72 68 68
209 – Winnie Ng Yu Xuan 68 71 70
218 – Natasha Andrea Oon 74 69 75
218 – Liyana Azizan Durisic 75 66 77
219 – Ashley Lau 79 71 69
219 – Mirabel Ting ErnHui 72 74 73
223 – Angle Hii 76 75 72
224 – Vinisha Gunaselan 68 78 78
225 – Lorenzakayla Nocum (Filipina) 76 76 73
226 – Sofia Chabo (Filipina) 74 74 75