Hari pertama kejohanan golf 100PLUS Remaja Terbuka Malaysia menyaksikan penguasaan pemain kelahiran Korea Selatan, Shin Taewon yang mendahului hari pertama di Kelab Golf Glenmarie, Subang hari ini.

Shin Taewon menutup pusingan pertama dengan catatan 67 pukulan lima dibawah par.

“Secara keseluruhan, putting saya begitu baik dan sentiasa berada di dalam green selain cuba untuk mencari catatan par.

“Minggu lalu saya bermain hambar di sini (Kejuaraan Ambank Remaja Antarabangsa Sport Excel Group 2017), namun berjaya memperbaiki catatan itu hari ini,”kata Shin Taewon.

Tambahnya lagi, status pendahulu yang diperolehi pada hari ini tidak mahu dijadikan tumpuan utama kerana beliau hanya mahu fokus terhadap rentak permainannya.

Pemain kelahiran Korea Selatan ini cemerlang dengan tiada catatan bogey pada hari pertama.

Sembilan lubang pertama, Shin Taewon hanya bermain par sepanjang tujuh lubang sebelum membenam dua birdie berturut turut di lubang ke 8 dan 9.

Pukulannya semakin konsisten apabila menambah tiga lagi birdie bermula di lubang 11 sebelum dua lagi birdie berturut turut dilakar dilubang ke 15 dan 16 untuk menutup hari pertama dengan 67 pukulan lima dibawah par.

“Saya tidak mahu bermain dalam tekanan, hanya memikirkan pemainan sendiri dan tidak ambil peduli keputusan atau kedudukan pemain lain,”katanya lagi.

Mengekori rapat dibelakang Shin Taewon adalah pemain negara, K. Rhaasrikanesh yang menutup hari pertama dengan catatan 70 pukulan dua dibawah par.

Di sembilan lubang pertama, beliau cemerlang membenam tiga birdie bermula dilubang 1 dan 2 sebelum menambah satu lagi di lubang 7.

“Pukulan saya secara keseluruhannya adalah baik dan mempunyai banyak peluang untuk mencatat birdie.

“Namun putting saya agak lemah dan kekuatan mental yang agak goyah kerana terlalu memikirkan untuk mengekalkan rentak permainan selepas mencatat dua birdie,”kata K Srhaasrikanesh.

Rentaknya mula goyah seketika apabila mencatat bogey dilubang ke 4, namun kembali konsisten di sembilan lubang terakhir apabila mencatat birdie di lubang 11 sebelum bogey dilubang 14 kembali menjejaskan fokusnya.

“Lapangan ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika mahukan catatan yang baik, perlu fokus dan saya bermain tanpa tekanan dan tidak memikirkan soal kemenangan.

“Saya hanya mahu bermain dengan baik sepanjang kejohanan dan cuba mencari catatan yang terbaik,”katanya lagi.

Dikedudukan ketiga dua pemain, Victor Ng Yu Kai dari Malaysia dan Donovan Lee dari Singapura yang berkongsi kedudukan ketiga dengan catatan par 72.

Sementara itu dalam kategori wanita, dua pemain berkongsi kedudukan pendahulu.

Winnie Ng Yu Xuan yang memulakan saingan jam 7.43 pagi menutup hari pertama dengan lakaran senyuman.

Cuaca mendung sedikit sebanyak membantu Winnie untuk bermain cemerlang di hari pertama, memulakan saingan dilubang 10, Winnie membenam dua birdie di lubang 12 dan 14, namun goyah seketika apabila mencatat bogey dilubang 18.

Permainnya semakin kemas apabila menambah tiga lagi birdie dilubang 3 dan 4 serta 7sebelum bogey dilubang 9 sedikit mengecewakannya, namun tetap berpuas hati apabila menutup saingan hari pertama selaku pendahulu dengan catatan 68 pukulan empat dibawah par.

“Saya tidak menjangkakan permainan yang baik hari ini dan sebenarnya saya menghadapi masalah kesihatan minggu lalu dan terpaksa menarik diri daripada beraksi di Kejuaraan Ambank Remaja Antarabangsa Sport Excel Group 2017.

“Pemainan ketika di green lebih baik dan saya hanya memberi fokus satu per satu untuk kekal tenang kerana saya sukakan permainan ini,”kata Winnie.

Impian Winnie Ng Yu Xuan untuk berseorangan di kedudukan teratas kategori wanita tidak kesampaian apabila seorang lagi pemain negara menamatkan saingan dengan empat dibawah par.

G Vinisha boleh dilabel sebagai pemain paling cemerlang apabila menamatkan hari pertama tanpa catatan bogey.

Beliau melakar empat birdie bermula di lubang  13 dan 15 sebelum menutup sembilan lubang pertama dengan birdie berturut turut di lubang 16 dan 17.

Vinisha terus tenang disembilan lubang terakhir meskipun menambah dua lagi birdie dilubang 3 dan 6.

“Saya cuba untuk kekal ceria dan tenang sepanjang permainan selain bermain aggresif. Jika tidak yakin saya hanya bermain dengan selamat begitu juga sebaliknya, jika ada keyakinan saya akan cuba bermain aggresif.

“Pusingan kedua saya hanya fokus untuk diri sendiri dan tidak mahu memikirkan orang lain selain cuba mengelak sebarang tekanan ke atas diri sendiri,”kata Vinisha.

Manakala dua pemain, Mikhaela Fortuna dari Filipina dan Mirabel Ting Ern Hui dari Malaysia berkongsi kedudukan ketiga dengan catatan par 72 pada hari pertama.

 

Kedudukan Pemain – Hari Pertama

Lelaki

Shin Taewon (Korea Selatan) 67

K Rhaasrikanesh 70

Victor Ng Yu Kai 72

Donovan Lee (Singapura) 72

Adam Arif Madzri  72

Nor Heikal Nor Hadi 73

Yar Zang Aung (Myanmar) 73

Afif Fathi 73

Lee Chong Li 74

Malcolm Ting Siong Hung 74

 

Perempuan

G Vinisha 68

Winnie Ng Yu Xuan 68

Mikhaela Fortuna (Filipina) 72

Mirabel Ting Ern Hui 72

Francesca Bernice Olivarez-Ilas (Filipina) 74

Liyana Azizan Durisic 75

Sarah Madzri 76

Allycia Gan Pheik Wen 76

Angel Hii 76

- Advertisement -