“Tiba masa buka buku baharu”…Itu azam pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin yang mengharapkan perjalanan Liga Malaysia 2021 akan lebih baik selepas mengakui berdepan cabaran cukup hebat musim ini dalam menangani pandemik COVID-19.
Jelasnya, situasi yang melanda seluruh negara ketika ini benar-benar memberi kesan kepada semua pasukan terutamanya Sabah yang menjadi antara negeri paling banyak mempunyai kes positif COVID-19 sehingga memaksa mereka melupakan hasrat beraksi di TM Piala Malaysia 2020.
Pengorbanan sedemikian nyata menyedihkan semua pemain, namun pemain berusia 26 tahun ini percaya hikmah disebalik apa yang berlaku musim ini selain mengharapkan musim 2021 dapat memberi sesuatu yang lebih indah bukan sahaja kepada Sabah, malah pasukan lain juga.
Kini, kalendar Liga Malaysia 2020 sudah pun melabuhkan tirai dan apa yang pasti, dia bersama rakan sepasukan enggan lagi menoleh ke belakang sebaliknya mahu mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk membantu Sabah meraih pencapaian lebih memberangsangkan musim depan.
“Apa yang kami korbankan adalah demi keselamatan semua orang, walaupun hakikatnya memang masih terasa sedikit sedih apabila terpaksa menarik diri dari TM Piala Malaysia.
“Sekarang, musim 2020 pun sudah berakhir, jadi kita tidak boleh lagi mengenang nasib apa yang sudah jadi tahun ini, dan untuk itu, saya memang mengharapkan yang lebih baik untuk Sabah pada musim depan.
“Sebagai pemain, mahu atau tidak kita kena selalu ambil positif dalam menangani apa jua situasi termasuk pandemik COVID-19 ini, dan jurulatih-jurulatih yang paling banyak membantu dalam tempoh kami tidak boleh turun ke padang kerana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).
“Banyak yang saya belajar pada musim ini untuk menjadi lebih kuat pada tahun hadapan, dan harap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Azzizan antara yang menjadi watak penting dalam membantu Sabah menjuarai Liga Premier pada tahun lalu untuk layak beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 selepas kali terakhir beraksi dalam saingan elit itu pada tahun 2012.
Namun, siapa sangka perjalanan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto tidak semudah itu apabila perlawanan terakhir liga juga terpaksa dilupakan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan, UiTM FC apabila tidak mendapat kebenaran keluar oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bercakap mengenai prestasi pasukan musim ini, Azzizan tidak menafikan Sabah yang menamatkan saingan di tangga ke 10 liga masih tercari-cari rentak untuk menyaingi pasukan berpengalaman lain dan memerlukan lebih banyak kerja keras bagi memperbaiki pencapaian musim ini.
“Untuk prestasi peribadi, saya rasa banyak lagi kekurangan dalam diri saya dan rasa puas itu masih belum ada apatah lagi, kita pun hanya sempat beraksi untuk beberapa perlawanan sahaja musim ini disebabkan COVID-19.
“Tetapi untuk pasukan, kita masih bersyukur kerana kekal dalam saingan Liga Super, cuma saya tidak nafikan rentak kami masih perlahan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.
“Jadi, kami perlu lebih serius untuk meletakkan Sabah di kedudukan lebih baik pada musim depan setanding dengan pasukan berpengalaman yang lain,” tambahnya.
Terdahulu, kalendar Liga Malaysia 2020 sudah pun berakhir selepas Malaysia. Football League (MFL) memutuskan pada Khamis lalu bahawa TM Piala Malaysia dibatalkan susulan tidak mendapat lampu hijau daripada MKN untuk meneruskan kejohanan berprestij itu yang hanya sempat berlangsung pada pusingan pertama sahaja.