Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Sri Affandi Hamzah berpendapat Dato’ Hamidin Amin wajar diberikan kemenangan percuma sebagai presiden FAM yang baru.
Menurut Affandi, jika Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri sudah mempercayai kredibiliti Hamidin dan mahukan Setiausaha Agung FAM sebagai pengganti kerusi panas itu, ahli gabungan tidak perlu lagi pening kepala memikirkan mengenai calon lain.
Lagipun, menurutnya Hamidin bukan sahaja berpengalaman dalam pentadbiran bolasepak, tetapi juga mempunyai hubungan baik dengan persatuan bolasepak dalam dan luar negara. Oleh itu, Affandi berpendapat lebih baik tiada persaingan merebut jawatan itu pada Kongres nanti.
“Memang pemilihan presiden perlu bersifat demokrasi dan terbuka, tetapi kita boleh menjadikan ianya lebih lancar dan memudahkan pemilihan kerana Tunku Ismail sendiri menamakan Hamidin pebagai pengganti, jadi sudah tentu dia individu paling layak,” jelas Affandi.
Tambahnya, “Saya mengenali Hamidin dengan baik jadi saya boleh katakan dia ada kemampuan untuk menjadi pemimpin yang baik. Ahli gabungan perlu bersatu mencalonkan hanya satu nama bagimengelakkan perebutan kuasa, seterusnya menjadikan impian Tunku Ismail mahukan Hamidin sebagai presiden satu kenyataan.”
FAM sudahpun mengedarkan borang penamaan calon kepada semua ahli gabungan sejak isnin lalu dan mereka punyai tempoh sehingga 11 Mei untuk menamakan calon pilihan. Difahamkan sekurang-kurangnya empat persatuan sudah memberi maklumbalas segera dengan menamakan Hamidin sebagai calon pilihan mereka.
Hamidin yang pernah berkhidmat selama 15 tahun bersama Persatuan Bolasepak Selangor sebelum masuk ke dalam FAM baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk bertanding bagi merebut jawatan presiden setelah mendapat sokongan penuh dari barisan Exco. = OLEH MUHAMMAD AIMAN