Hanya sehari selepas Rusdi Suparman meninggalkan pasukan, persiapan Kuala Lumpur menghadapi musim baru Liga Malaysia yang akan membuka tirai dalam tempoh sebulan dari sekarang menerima satu lagi tamparan apabila pemain sayap mereka Naim Nazmi pula disahkan akan tersisih sehingga enam bulan kerana kecederaan lutut.
Naim mengalami kecederaan itu ketika skuad warga kota menang 1-0 ke atas PKNS FC dalam aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Cheras pada Sabtu lalu.
Menurut pengendali pasukan, Fabio Maciel Da Silva, “Pada mulanya kecederaan itu tidak nampak serius, dia cuba untuk mendapatkan bola. Sudah tentu ia satu kehilangan, kami harapkan dia akan kuat dan segera kembali. Saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan tentang penggantinya, kita ada beberapa pemain yang boleh menggantikan tempatnya.”
Naim adalah salah seorang pemain tonggak Kuala Lumpur sepanjang musim lalu, dia membuat 24 penampilan secara keseluruhan dalam semua pertandingan dan membantu pasukan itu menjuarai 100PLUS Liga Premier dan kembali ke Liga Super.
Antara pemain yang dijangka boleh mengambil alih kekosongan ditinggalkan Naim termasuklah dua pemain berpengalaman yang baru dibawa masuk, Indra Putra Mahyuddin dan Zaquan Adha Abdul Razak.
Meskipun berstatus pendatang baru, Kuala Lumpur tetap dianggap antara pasukan yang mampu mencabar secara serius dalam saingan liga musim depan dengan adanya himpunan pemain berkualiti seperti Guilherme De Paula, Ashri Chuchu, Hafiz Johar serta tonggak skuad B-23 kebangsaan Irfan Zakaria.
Mereka juga dilaporkan masih dalam proses mendapatkan pemain pertahanan dari Singapura, Bhaihaki Khaizan.
Sementara itu, Rusdi pula membuat keputusan meninggalkan pasukan selepas berakhirnya perlawanan menentang PKNS tempoh hari, dengan mengatakan bahawa dia telah bersetuju untuk bersama dengan Kuantan FA. OLEH MUHD AIMAN