Skuad bolasepak B-22 Malaysia layak ke aksi final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah menundukkan Indonesia 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam pada Sabtu (26 Ogos).
Jaringan tunggal penyerang sensasi, N.Thanabalan empat minit sebelum tamat perlawanan sudah memadai untuk Malaysia menempah pertemuan menentang juara bertahan Thailand pada Selasa ini yang sekaligus mengulangi aksi final edisi KL2001.
Perlawanan di hadapan 80,000 penyokong itu menyaksikan kedua-dua jurulatih membuat rombakan besar dalam kesebelasan utama pasukan.
Dato’ Ong Kim Swee membuat lapan pertukaran dengan menyenaraikan skuad sama yang menewaskan Myanmar dalam aksi peringkat kumpulan Isnin lalu manakala Luis Milla pula membuat tujuh pertukaran di dalam kesebelasan yang menewaskan Kemboja dua hari lalu.
Malaysia hampir berada di depan seawal minit keenam namun tandukan Thanabalan setelah menerima hantaran Safawi Rasid berjaya digagalkan pertahanan Indonesia.
Ketiadaan kapten pasukan Hansamu Yama Pranata, Muhammad Hargianto dan Marinus Mariyanto nyata cukup dirasai Indonesia tatkala mereka dikerah bertahan sepanjang 25 minit minit pertama oleh gandingan Kumaahran-Thanabalan-Safawi.
Tanpa banyak percubaan atau gerakan berbahaya, separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia tampil agresif dan melancarkan serangan bertali arus terutama dalam tempoh 20 minit terakhir namun sekali lagi dihampakan ketiadaan sentuhan penyudah.
Indonesia turut mempunyai peluang mereka namun Haziq Nadzli tampak cukup cemerlang di gawang.
Ketika perlawanan dilihat hampir menuju ke masa tambahan 30 minit, Thanabalan melonjak untuk menanduk masuk hantaran sepakan sudut yang sekaligus menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Kekalahan bagi Indonesia bermakna mereka akan beraksi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Myanmar. – OLEH MUHAMMAD AIMAN