Tuneboss-Pink Racing Team tetap mengintai untuk mengutip mata pada saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara hujung minggu ini.
Ia bukan perkara mustahil untuk dicapai jika segala persiapan mereka untuk menghadapi saingan Pusingan 2 ini berjalan lancar seperti yang dirancangkan.
Pasukan yang baharu membuat penampilan pada kejuaraan berprestij itu, sedar dengan segala kekurangan yang ada pada mereka, tetapi ia bukan halangan buat barisan pelumbanya untuk melontarkan cabaran.
Semangat serta komitmen yang tinggi dalam kalangan pelumbanya dilihat sebagai aset penting buat Tuneboss-Pink Racing Team untuk melakar kejutan pada kejuaraan motorsikal tertua negara itu.
Malah, mereka telah membuktikan semangat tersebut pada saingan Pusingan 1 di litar yang sama dua minggu lalu yang menyaksikan dua pelumbanya, Siti Norafizah Mohamad dan Md Harith Farhan Baharin berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik bagi kelas CP125.
Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifi telah menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan kelima manakala Farhan pula yang baharu menunggang jentera Yamaha sepanjang kariernya menghuni tempat kelapan.
Mereka berjaya mengutip mata dengan Fifi meraih 11 mata manakala Farhan pula mengutip 8 mata.
Ia dianggap sebagai satu permulaan yang baik dan lebih menarik, Fifi pula mencipta nama menjadi pelumba wanita pertama untuk meraih kedudukan dalam kelompok 5 terbaik dalam sejarah Cub Prix bagi kelas CP125.
Hasil kejayaan yang membanggakan itu, ia telah membolehkan pasukan TBPR untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan mengumpul 19 mata.
Seorang lagi pelumba wanita TBPR, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan yang berasal dari Perak, turut menampilkan prestasi yang membanggakan dalam kelas Wira dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17.
Minggu ini, pasukan yang dimiliki seorang wanita itu, Nur Atikah Azwar,25, kembali melangkah ke litar yang sama dengan harapan untuk meneruskan rentak cemerlang seperti yang mereka pamerkan pada Pusingan 1 sebelum ini.
Tiada sasaran spesifik ditetapkan, tetapi mereka tetap mengharapkan barisan pelumbanya melakukan yang terbaik serta menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh dalam usaha memantapkan lagi gaya persembahan mereka.
Mereka tidak memburu kemenangan podium kerana sedar dengan segala kekurangan yang ada dalam pasukan.
Selain itu, TBPR juga akur dengan kemampuan barisan pencabar mereka yang sebahagian besarnya telah lama berlumba di Cub Prix.
Begitupun, jika barisan pelumbanya mampu mengulangi prestasi yang telah mereka buktikan pada cabaran Pusingan 1 sebelum ini, para peminat sukan permotoran bakal menyaksikan satu lagi kejutan di Sepang minggu ini.
Selepas seminggu berehat, para pelumba TBPR kini berada dalam keadaan terbaik dan tahap kecergasan mereka juga sangat memuaskan.
Tempoh rehat seminggu itu dipergunakan sepenuhnya untuk menjalani latihan kecergasan bagi memastikan semua pelumbanya tetap fokus menghadapi saingan di Sepang minggu ini.
Bagi pemilik pasukan, Nur Atikah, beliau berharap agar pasukannya mampu mengekalkan momentum seperti yang mereka pamerkan pada aksi Pusingan 1 sebelum ini.
“Rasa tertekan memang ada untuk menghadapi aksi Pusingan 2 ini kerana kami tidak menjangka untuk tampil agak luar biasa pada Pusingan 1 dua minggu lalu.
“Malah, tidak pernah terfikir bahawa pelumba kami mampu untuk berada dalam kelompok hadapan pada saingan Pusingan 1 itu dan situasi tersebut serba sedikit memberi tekanan kepada saya,” jelas Nur Atikah.
Menurutnya, sebagai sebuah pasukan baharu dalam Cub Prix, masih banyak lagi benda yang mereka perlu pelajari, namun tetap berharap untuk melakukan yang terbaik dalam setiap pusingan.
Pencapaian TBPR pada Pusingan 1 CP125 (perlumbaan akhir)
Siti Norafizah Mohamad – tempat kelima
Md Harith Farhan – tempat kelapan
Wira
Siti Norsyafiyah Alia Saarizan – tempat ke-17
Kedudukan pelumba (keseluruhan CP125)
Siti Norafizah Mohamad (tempat kelima) – 11 mata
Md Harith Farhan (tempat kelapan) – 8 mata
Kedudukan pasukan (keseluruhan CP125)
Tuneboss Pink Racing Team (tempat ketiga) – 19 mata