Oleh Muhammad Aiman
Malaysia menamatkan Kejohanan Futsal Asia Tenggara (AFF) di tempat ketiga setelah bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Timor Leste 8-1 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok pada Ahad.
Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu yang berputih mata melepaskan kelebihan tiga jaringan sebelum tunduk 3-5 kepada Thailand di separuh akhir, tampil dominan dan beraksi garang di separuh masa kedua apabila menjaringkan enam gol untuk memastikan kemenangan.
Bagi Chun Yong, dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya sepanjang kejohanan namun mengakui pencapaian tempat ketiga bukan sesuatu yang wajar dibanggakan.
“Dari segi prestasi ianya meyakinkan, walaupun ketinggalan awal, mereka menunjukkan kebangkitan, terapkan strategi yang yang diajar di separuh masa kedua, ianya kesudahan yang baik bagi kita tetapi untuk menduduki tempat ketiga, saya berpendapat kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik.
“Saya berharap pemain belajar sesuatu dari kejohanan ini, dari apa yang berlaku ketika menentang Myanmar (kumpulan) dan Thailand. Untuk berlaku adil, kita baru berlatih selama dua bulan, jadi saya anggap ini sebagai satu permulaan, tapi sudah tentunya untuk menjadi sebuah pasukan mantap dan berdaya saing memerlukan lebih banyak lagi masa, lebih banyak pertandingan kompetitif,” ujar Chun Yong.
Tambahnya, “Kita ada masa lebih kurang enam bulan sebelum Sukan Sea, jadi saya perlu gunakan tempoh yang ada ini untuk menambahbaik aspek teknikal, taktikal, fizikal, mental dan jika mereka mendapat pendedahan yang wajar, saya pasti mereka boleh hasilkan keputusan positif di Sukan Sea nanti.”
Pada aksi klasifikasi tempat ketiga itu, Timor Leste mengejutkan Malaysia seawal minit pertama menerusi jaringan Jose Lopez Vide namun skuad negara menyamakan kedudukan pada minit kelima menerusi Azri Rahman sebelum Abu Haniffa Hassan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit akhir separuh masa pertama.
Aksi menyerang ditunjukkan di separuh masa kedua menyaksikan enam gol terhasil menerusi Khairul Effendy Md Bahrin, Ridzwan Bakri, Awaluddin Mat Nawi dan Azwan Ismail.