Beberapa pengendali Liga Malaysia berpuas hati selain menganggap tempoh persiapan selama tiga bulan yang diberikan oleh Malaysian Football League (MFL) sebagai bersesuaian sebelum menghadapi musim 2021.
Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berasakan setiap pasukan mempunyai tempoh mencukupi termasuk mendaftarkan pemain baharu serta latihan pada permulaan latihan pra-musim dan perlawanan persahabatan.
Walaupun begitu, beliau memahami semuanya bergantung kepada situasi penularan pandemik COVID-19 di negara ini yang akan berikan kesan secara langsung kepada kelancaran perjalanan Liga Malaysia.
“ Saya rasa dengan situasi semasa, tempoh yang diberikan oleh MFL sebelum sepak mula pada 27 Februari nanti sebagai mencukupi dan kami juga sempat adakan perlawanan persahabatan.
“ Malah, kami juga sudah boleh daftarkan pemain bermula minggu ini (21 November) dan situasi berkenaan memudahkan kami untuk melakukan perancangan menyusun pemain.
“ Cuma seperti semua pihak, hanya peningkatan kes COVID-19 ini sahaja berikan kebimbangan kerana boleh buatkan segala dirancang tidak menjadi kenyataan dan kita harap tahun depan, segalanya berjalan sempurna, ” katanya.
Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tarikh-tarikh bagi kalendar Liga Malaysia musim 2021 dengan aksi perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan naib juara liga, Kedah pada 26 Februari 2021 sebagai aksi pembuka tirai.
Perlawanan-perlawanan domestik seperti CIMB Liga Super dan Liga Premier bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021 manakala kejohanan Piala FA bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac 2021 sehingga aksi final pada 11 September 2021.
Kejohanan TM Piala Malaysia akan bermula 17 dan 18 September 2021 sehingga 27 November 2021 manakala kejohanan Challenge Cup akan berlangsung pada 3 dan 4 September 2021 sehingga final pertama pada 6 atau 7 November 2021 diikuti final kedua pada 13 atau 14 November 2021.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor, mengharapkan musim 2021 akan diserikan kembali dengan kehadiran penyokong ke stadium biarpun di dalam jumlah yang kecil.
Tambahnya, Liga Malaysia umpama kehilangan penyeri apabila tiada penonton sejak liga kembali bersambung pada Ogos tahun ini dan beliau berharap situasi itu tidak akan berlarutan.
“ Jika kes jangkitan COVID-19 makin menurun, saya harap musim depan secara perlahan-lahan penonton dapat dibenarkan ke stadium, mungkin dalam 5 ke 10 peratus daripada kapasiti stadium pun, sudah dianggap baik.
“ Setidak-tidaknya ada kutipan daripada duit tiket sebagai pendapatan pasukan namun saya faham semuanya bergantung sejauh mana kebenaran yang akan diberikan oleh kerajaan.
“ Mengenai persiapan, saya rasa enam ke lapan minggu sebenarnya sudah mencukup buat mana-mana pasukan lakukan persiapan menyeluruh dan saya sememangnya gembira apabila melihat kalendar yang dikeluarkan oleh MFL, ” katanya.