Tengku Amirul Hafiruddin menyasarkan kemenangan keenam sekaligus terus melebarkan jurang selaku pendahulu keseluruhan CP115 apabila turun beraksi di halaman sendiri pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kuala Terengganu, Terengganu, 5 dan 6 Oktober ini.
Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu telah meraih lima gelaran juara daripada enam perlumbaan musim ini dan hanya sekali tamat di kedudukan keempat sewaktu pusingan keempat di Temerloh, Pahang.
Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, 52 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang berada di kedudukan kedua dengan 86 mata manakala Md Haziq Md Fairues ketiga dengan 79 mata.
“Saya gembira kerana selepas dua tahun, perlumbaan Cub Prix kembali ke Kuala Terengganu dan saya dapat beraksi di hadapan keluarga dan penyokong saya di sini dan berharap dapat mengulangi pencapaian menaiki podium di sini pada tahun 2015,” jelas Tengku Amirul.
Tambahnya, “Namun, walaupun saya telah memenangi lima perlumbaan setakat ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan CP115 ini sentiasa sengit dan tidak diduga. Apa yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin pasukan juga akan menyediakan jentera terbaik untuk saya minggu ini.”