TERENGGANU melepasi halangan  awal untuk ke separuh akhir Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Razak (Lelaki) ke-59 selepas mengetepikan PDRM 2-1 pada saingan Kumpulan X di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil malam ini. 

Terengganu, yang sudah lima kali ke final dalam tempoh 10 tahun termasuk meraih kejuaraan pada 2016, kini berada di landasan tepat untuk memperbaiki pencapaian tahun lepas selepas muncul naib juara. 

Turun sebagai pasukan pilihan yang paling banyak mencatat jaringan dengan 20 gol, Terengganu bagaimanapun menerima tentangan hebat dari PDRM yang dikemudi bekas pemain remaja kebangsaan Baljit Singh. 

Strategi lawan PDRM menerusi pukulan penalti sudut akhirnya membuahkan hasil buat Terengganu pada minit ke-9. Ketua pasukan dan pemain kebangsaan Mohd Fitri Saari, yang merupakan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 7 gol, meledak cantik menerusi tolakan kemas membolosi penjaga gol PDRM. 

PDRM bangkit pada suku kedua menerusi beberapa siri serangan dan usaha mereka berhasil apabila mendapat pukulan penalti sudut oleh pengadil pada minit ke-12. Flicker PDRM, Baljit Singh, melakukan tolakan cantik di sebelah kanan gol Terengganu untuk menyamakan kedudukan. 

PDRM seharusnya menambah jaringan apabila pada satu ketika, mendapat tiga penalti sudut berturut-turut tetapi gagal disempurnakan. 

Berbaki dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Terengganu kembali menekan PDRM dan berhasil melebar jurang apabila Muhammad Shafiq Imran Zaharuddin menjaringkan gol kemenangan Terengganu. 

Separuh masa kedua menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak tetapi Terengganu berjaya mengekang asakan PDRM terutama penjaga gol Haizul Faiz yang beberapa kali menafikan percubaan PDRM. 

PDRM, yang kali terakhir layak ke final pada 2016,  perlu bangkit dan memastikan kemenangan ke atas Pahang esok sekiranya berhasrat mencerahkan peluang mara ke separuh akhir.

“Memang kita menang perlawanan, tetapi saya agak tidak puas hati dengan kerana terlalu banyak sia-siakan peluang. Agak bernasib baik kerana  prestasi pertahanan terutama penjaga gol HaizulFaiz yang bertindak cemerlang sebagai pertahanan terakhir. Jadi perlu perbaiki lagi semua kesilapan. ’ kata pengendali Terengganu K. Rajan.

Dalam satu lagi saingan, usaha juara bertahan dan juara 10 kali PERAK, untuk memudahkan laluan ke separuh akhir terencat apabila diikat oleh MELAKA 1-1 untuk berkongsi satu mata dalam Kumpulan Y. 

Kedua-dua pasukan kini berkongsi kedudukan dengan Perak perlu memastikan kemenangan apabila bertemu Kuala Lumpur pada perlawanan kedua esok. 

Kekuatan kedua-dua pasukan tampak seimbang dan bermain secara kemas dan saling melakukan asakan.   Namun, Melaka, yang merupakan juara empat kali dan pernah menumpaskan Perak di final pada tahun 2015, meledak terlebih dahulu menerusi gol padang Amirullah Zainol pada minit ke-19.

Biarpun tertekan, Perak bangkit menerusi Azril Misron yang menambah koleksi gol peribadi yang ketiga apabila menjaringkan gol tunggal skuad Perak menerusi pukulan penalti sudut pada minit ke-27 untuk menyamakan kedudukan. 

Dua suku terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata. 

Perak bertemu Kuala Lumpur pada perlawanan kedua esok manakala Melaka berdepan Pahang pada Jumaat ini.  

 

JADUAL PERLAWANAN (Khamis, 18/11/21) 

Lelaki

Kumpulan Y  (8.00 malam)

NHS 1: PERAK  mln KUALA LUMPUR

 

Kumpulan X

NHS 2: PDRM mln PAHANG

- Advertisement -