Satu-satunya pasukan yang masih mencatat rekod bersih kemenangan dalam saingan liga setakat ini, Terengganu FC II (TFC II) yang juga pendahulu Liga Premier berharap tempoh rehat selama lima bulan ekoran penularan pandemik COVID-19 tidak menghentikan momentum positif yang telah terbina dalam empat perlawanan lalu.
Ketua jurulatihnya, Roshadi Wahab, melihat peluang semua pasukan di Liga Premier adalah sama rata kerana cabaran yang akan hadir pasti berbeza serta sukar diramal dalam tiap perlawanan.
Justeru, beliau tidak mahu memandang rendah keupayaan Negeri Sembilan walaupun berdasarkan carta liga, Negeri Sembilan yang berada di tangga ke-10 bergelut pada beberapa aksi awal Liga Premier.
“ Buat masa ini, saya tidak gusar dengan perkembangan pasukan kerana berdasarkan pemantauan saya daripada aksi persahabatan, pemain-pemain kita boleh kekalkan prestasi sebelum liga berehat, Mac lalu.
“ Cuma kita tidak tahu perkembangan pasukan lain yang turut perbaiki kelemahan seperti Negeri Sembilan yang pasti mahu tampil berbeza berbanding sebelum ini.
“ Jadi saya harap kita mampu bersedia dan kekalkan prestasi yang kita bina sebelum ini tanpa merendahkan cabaran pasukan lain kerana dalam tujuh perlawanan sedia ada,apa-apa boleh terjadi.
“ Apa yang saya risaukan kemampuan di bahagian pertahanan kerana kami kehilangan Argzim Redzovic ke pasukan utama tetapi kami memahami keperluan Terengganu FC.
“ Saya jangka akan memilih sama ada Che Mohd Arif atau Radhi Yusof sebagai pengganti Argzim untuk bergandingan bersama Aqil Irfanuddin di posisi pertahanan tengah, ” katanya.
Pasukan di tangga kedua, Kelantan United akan berkunjung ke Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin menentang JDT II manakala di Kota Bharu, Kelantan yang masih segar dengan kemenangan besar 5-1 ke atas UKM FC, bakal melayani Pulau Pinang di Stadium Sultan Mohamad ke-IV.
Di Stadium Negeri, Kuching FA yang masih kemarau kemenangan setakat ini akan berdepan Selangor 2 sementara Perak II bertemu Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Satu lagi perlawanan yang akan berlangsung pada Jumaat ini melibatkan skuad warga kota, Kuala Lumpur yang masih gah dengan rekod tanpa kalah dan UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur