Kekalahan dua kali berturut-turut yang dialami Terengganu FC tidak menyekat harapan mereka dalam misi melakar kemenangan ke atas juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT), apabila kedua-dua pasukan bertembung pada Sabtu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hani menghormati kemampuan JDT yang telah melakar kemenangan sembilan kali berturut-turut namun itu tidak bermakna mereka gentar untuk memberikan tentangan kepada skuad kendalian Benjamin Mora.
Sedar JDT akan turun dalam misi membalas dendam di atas kekalahan 0-1 yang dialami pada 24 April lalu di Stadium Sultan Ibrahim, Shahrul Nizam akui mereka perlu lebih berwaspada memandangkan lawan dijangka akan menurunkan barisan terbaik biarpun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super.
“ Sasaran kami masih lagi mahu bersaing di Piala AFC selepas terkilan tidak dapat bermain pada musim ini dan kedudukan selaku naib juara Liga Super lebih menjamin buat kami memandangkan tempat ketiga perlu menunggu pemenang Piala Malaysia
“ Sememangnya saya dan rakan-rakan mahukan kemenangan dalam perlawanan ini kerana ia pasti jadi pengubat terbaik selepas kami kalah pada dua perlawanan sebelum ini yang menjejaskan peluang kami untuk berada dalam kalangan kedua terbaik.
“ Kami sedar tidak boleh kalah lagi jika mahu terus merapati kedudukan Kedah selain Penang juga meraih mata sama dengan kami. Selepas ini hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi.
“ Saya sedar JDT sememangnya sebuah pasukan yang sangat kuat tetapi itu tidak bermakna saya dan rakan-rakan takut untuk berdepan mereka sebaliknya kami akan lebih bersemangat.
“ Ketiadaan Carli de Murga yang merupakan ketua pasukan tidak menjejaskan kami kerana persefahaman dengan gandingan saya, Muhammad (Mohd Fauzi) di bahagian pertahanan tengah semakin meningkat dari setiap perlawanan, ” katanya.
Berusia 23 tahun, Shahrul Nizam yang berasal dari Bachok merupakan antara muka baharu diambil Nafuzi Zain pada musim ini dari Kelantan dan sering kali menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan.
Perlawanan lain yang dijangka tidak kurang hebatnya ialah membabitkan Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Berbekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan selain belum pernah tumbang di laman sendiri sepanjang musim ini, pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco, mengharapkan faktor itu mampu menjadi motivasi tambahan bagi menewaskan Kedah.
Sudah melupakan terhadap apa yang terjadi semasa kekalahan 2-3 di Stadium Darul Aman pertahanan dari Australia itu melihat mereka berada di momentum terbaik bagi meneruskan rentak kemenangan.
“ Biarpun saya mendapat tahu lawan akan bermain tanpa beberapa pemain utama seperti Kpah Sherman dan Rabih Ataya selain Tchetche Kipre yang belum pasti dapat diturunkan, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
“ Sebaliknya, kami hanya perlu fikirkan persembahan sendiri pada hari perlawanan dan hormat terhadap sesiapa sahaja akan diturunkan oleh Kedah malah tidak boleh ambil sikap terlalu mudah.
“ Kami mahu akhiri aksi terakhir Liga Super di Cheras dengan kemenangan sekali gus memastikan kami menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas pada saingan Liga Super tiap kali bermain di laman sendiri.
“ Saya begitu berbangga dengan apa yang dicapai Kuala Lumpur setakat ini dan harap ini merupakan permulaan kepada masa depan yang lebih baik buat kami di saingan Liga Malaysia, ” katanya.
Satu lagi perlawanan yang turut berlangsung pada Sabtu ialah membabitkan PJ City FC dan UiTM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.