Terengganu terus menyaingi Johor apabila menambah dua lagi pingat emas menerusi acara kriterium lelaki dan wanita di sini, hari ini.
Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham memulakan hari ceria Terengganu dengan mengungguli acara kriterium wanita selepas mengumpul 14 mata untuk memenangi emas kedua Terengganu sebelum Wan Abdul Rahman Hamdan memberikan sebutir emas lagi menerusi acara lelaki, beberapa jam kemudian.
Ezzatie memungut 14 mata dalam perlumbaan sejauh 42km membabitkan loop sekitar 3km sepusingan itu, mengatasi pencabarnya Nurqadrina Emylia Norzali dari Selangor (9 mata) dan pelumba Kuala Lumpur Yeong Zhen Yi (9 mata).
Sementara itu, Wan Abdul Rahman terus membanggakan kem Terengganu selepas itu apabila memenangi emas ketiga dari sukan berbasikal untuk negeri itu, dengan mengungguli kriterium lelaki 63km selepas mengumpul 19 mata.
Dia mengatasi pemenang perak dari Johor, Zulhelmi Zainal (16 mata) dan Muhammad Yusri Shaari dari Perak (9 mata).
Sebelum ini, Johor memungut 5 emas apabila mengungguli acara ujian masa individu lelaki dan wanita serta lepas beramai-ramai lelaki dan wanita serta berpasukan wanita, manakala Terengganu hanya memenangi satu emas menerusi berpasukan lelaki lepas beramai-ramai.