Oleh Muhammad Aiman
Terengganu dan PDRM akan berentap menentukan kejuaraan Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak setelah masing-masing melangkah ke perlawanan akhir dengan mencatat kemenangan bergaya ke atas dua finalis tahun lalu pada aksi separuh akhir yang berlangsung Jumaat.
Terengganu, juara 2012, tampil dengan aksi bertenaga untuk menewaskan juara bertahan, Melaka dengan keputusan 4-0 di Stadium Hoki Bukit Jalil, manakala PDRM meledak tiga jaringan dalam tempoh lapan minit di babak terakhir perlawanan untuk menewaskan naib juara tahun lalu, Perak 3-0.
Pertembungan antara Terengganu dan Melaka, menyaksikan ketua pasukan Faizal Shaari menjaringkan gol seawal minit ketiga dan Akhimullah Anuar menggandakan kelebihan pada minit ke-25 untuk Terengganu mendahului 2-0 di separuh masa pertama.
Sebarang sisa harapan buat skuad bimbingan Azrul Effendy dinoktahkan apabila Faizal menjadikan kedudukan 3-0 hanya dua minit bersambung separuh masa kedua, dan Firhan Ashari melengkapkan kemenangan bergaya Terengganu menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan.
PDRM pula berdepan tentangan sengit Perak yang berazam merampas semula gelaran yang mereka menangi pada 2013 dan 2014, namun kelekaan pertahanan Perak di penghujung perlawanan dimanfaatkan sebaiknya PDRM yang mara ke final pada penampilan pertama mereka di Divisyen Satu sejak sekian lama.
Gol buat PDRM dijaringkan oleh Kamarudin Md Latif pada minit ke-48, Faizal Reza Md Nor pada minit ke-52, dan pemain kebangsaan Nabil Fikri Mohd Noor pada minit ke-56.
Perlawanan akhir antara Terengganu dan PDRM akan berlangsung pada Ahad, manakala Melaka dan Perak akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Sabtu.
Sementara itu, bagi aksi Divisyen Dua, gelaran juara akan ditentukan oleh dua pasukan jiran utara Pulau Pinang dan Perlis – Pulau Pinang meneruskan rentak kemenangan setelah mengetepikan Kelantan 7-3 manakala Perlis menewaskan ATM 4-1 pada aksi separuh akhir.
Pulau Pinang tampil garang untuk mendahului 5-0 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan Rahimi Iskandar dan Izwan Firdaus serta satu jaringan Hafizhudin Zaidi sebelum Kelantan tampil dengan aksi lebih baik di separuh masa kedua.
Bagaimanapun Pulau Pinang yang menjuarai Kumpulan A dengan menundukkan Perlis, Kedah dan Selangor dilihat terlalu unggul untuk dicabar dan mengesahkan kemenangan menerusi tambahan dua lagi gol sumbangan Haikal Mutalib dan Azri Hassan, tatkala kebangkitan yang cuba diterjemahkan Kelantan dilihat sudah terlewat.
Perlis pula menjaringkan empat gol menerusi pukulan sudut penalti, bermula dengan jaringan Najmi Farizal pada minit ke-23 dan 43, diikuti Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-50 dan Sobirin Ilias pada minit ke-53 seterusnya mengesahkan kemaraan ke final.
Perlawanan akhir antara Pulau Pinang dan Perlis juga akan berlangsung pada Ahad. Ia adalah pertemuan kedua bagi kedua-dua pasukan di kejohanan kali ini yang mana sebelum ini dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Pulau Pinang menundukkan Perlis 7-3.