Oleh Ku Mohd Lufti
Juara Sukan Malaysia ke 15, Terengganu menyasarkan 52 pingat emas di temasya edisi ke 16 tahun ini.
Enam daripada pingat emas disandarkan kepada sukan memanah yang dilihat sebagai salah satu lubuk emas daripada acara acara yang dipertandingkan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ibni Amin Busu menjelaskan, berdasarkan prestasi semasa atlet memanah negeri itu, sasaran 6 pingat emas dilihat tidak mustahil.
Terengganu akan menghantar lapan pemanah lelaki dan wanita di temasya Sukan Malaysia 2016 di Sarawak nanti.
“Ini antara sukan sukan yang kita sasarkan banyak pingat selain basikal, perahu layar disamping sukan sukan yang biasa menyumbang lebih daripada satu pingat seperti Taekwondo, silat, dan olahraga,” kata Ibni Amin.
Pencapaian kontinjen memanah dalam pungutan pingat adalah ketika SUKMA Pahang 2012 dimana mereka meraih 9 pingat emas, empat pingat perak dan tiga gangsa.
Manakala SUKMA Perlis 2014, Terengganu muncul juara keseluruhan bagi acara memanah dengan pungutan 8 pingat emas, 4 pingat perak dan 4 pingat gangsa.
Sementara itu Ibni Amin turut memaklumkan, Terengganu dijangka menghantar hampir 400 atlet ke SUKMA 2016 di Sarawak.
Senarai akhir atlet dijangka dimuktamadkan pada 31 Mei ini.