TERENGGANU menunjukkan belangnya apabila mengumpul satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara lumba basikal BMX lelaki dan wanita Sukan Malaysia ke-20 di Arena BMX Nasional di sini, hari ini.
Dalam acara 350 meter BMX final lelaki, pelumba Terengganu Saniy Syahmi Mohd Safiee memastikan emas apabila memenangi perlumbaan akhir dengan mencatat masa 29.000 saat, mengatasi rakan senegeri Amer Akbar Anuar yang mencatat 30.181 saat.
Pelumba Johor, Syed Irfan Danish Syed Anuar memungut pingat gangsa dengan catatan 31.186 saat.
Sebelum itu, Saniy Syahmi muncul pelumba terpantas pada peringkat separuh akhir dan dia yang bermula dari pagar permulaan pertama, membuat permulaan baik untuk mendahului tujuh pelumba lain di sepanjang perlumbaan.
“Dari awal saya hanya fokus terhadap perlumbaan. Malah jurulatih juga mengingatkan saya supaya jangan leka dan jangan terlalu yakin. Saya gembira dapat menyumbang emas dalam penampilan terakhir di Sukma ini,” kata pelumba 21 tahun dari Dungun itu.
Nasib turut menyebelahi pelumba wanita kebangsaan dari Selangor, Siti Natasha Mohd Basri apabila memastikan pingat emas buat dirinya, walaupun menduduki tangga kedua dalam saringan separuh akhir 2 dengan sekadar 35.599s.
Dalam perlumbaan akhir, dia berlepas dengan baik untuk mendahului pelumba lain sebaik melepasi pertengahan jarak perlumbaan, sebelum menang selesa dengan masa 33.859s, menewaskan dua pencabar dari Terengganu, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin (34.303s) dan Siti Nurliana Muhamad Nazri (34.849s).
“Saya gembira dan amat berpuas hati kerana dapat memenangi semula pingat emas ini setelah gagal kerana kecederaan di Sukma 2018,” kata pelumba 22 tahun dari Selayang itu.