Penganjur Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memperkenalkan penaja utama jelajah itu, Kerajaan Negeri Terengganu, bagi perlumbaan edisi ke-27 yang akan bermula di Kerteh, 23 September ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, berkata KBS amat berterima kasih dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Tourism Terengganu yang menjadi penaja pertama mengesahkan kesudian secara lisan untuk bersama LTdL 2023, biarpun kerja-kerja penganjuran kali ini bermula agak lewat.

Beliau yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, komitmen awal Kerajaan Negeri Terengganu itu sebelum tarikh pelancaran 4 Julai lalu, sedikit sebanyak memberi motivasi kepada MSN untuk berusaha mendapatkan dana tajaan lain, seterusnya memastikan kejayaan penganjuran jelajah bertaraf ProSeries dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Terengganu dengan penjenamaan ‘Beautiful Terengganu’ diberi penghormatan menaja kategori ‘Pelumba Terbaik Asia’ di mana wakil Kerajaan Negeri akan menyarungkan jersi putih pendahulu kategori ini pada setiap peringkat,” katanya dalam ucapan di majlis Pengumuman Penajaan Kerajaan Negeri Terengganu di Casa 4, MSN, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Dr Nagulendran berkata, kategori Pelumba Terbaik Asia cukup sinonim dengan Terengganu kerana negeri yang diberi jolokan ‘Land of Cyclist’ itu melahirkan ramai pelumba handalan negara dalam LTdL.

Selain itu, ia dianggap unik kerana berbeza dengan perlumbaan besar lain yang tidak mempertandingkan kategori pelumba terbaik untuk benua tertentu, ia juga memenuhi objektif penganjuran LTdL iaitu memberi peluang pelumba Asia bersaing dengan pelumba handalan dunia, selain mempromosi pelancongan menerusi acara sukan.

Sejak penganjuran kali pertama pada 1996, hanya Adiq Hussaini Othman menjadi pelumba tunggal memenangi gelaran Pelumba Terbaik Asia pada edisi 2016. Bagaimanapun, Terengganu tetap berbangga kerana pelumba kelahiran negeri itu, Anuar Manan pernah muncul pemenang peringkat yang pertama apabila menjuarai Peringkat 5 LTdL 2010, selain turut menguasai kategori Raja Pecut pada tahun berkenaan.

Pada tahun ini, Terengganu yang menjadi lokasi permulaan bagi Peringkat 1 di Kerteh dan Peringkat 2 di Kuala Terengganu, juga berpeluang untuk melihat Harrif Saleh menambah koleksi kemenangan peringkatnya, selepas menang Peringkat 2 pada LTdL 2019 dan Peringkat 5 dan 7 LTdL 2020.

Selain itu, pelumba kelahiran Marang, Muhammad Nur Aiman Zariff yang mengungguli kategori Raja Bukit pada 2020 dan 2022, juga berpeluang mempertahankan jersi itu pada tahun ini.

“KBS pasti dengan ruang promosi yang diberikan menerusi siaran secara langsung menerusi penyiar sukan Eurosports dan ratusan juta penonton di televisyen tempatan, platform media sosial Youtube dan TikTok, ia mampu memberi pulangan berlipat kali ganda daripada jumlah tajaan yang diberikan,” katanya.

Selain itu, katanya, program promosi seperti perarakan Calvacade dan acara sampingan yang bertemakan ‘Beautiful Terengganu’ juga mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara untuk memilih negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Dr Nagulendran yang berterima kasih kepada negeri itu kerana melahirkan ramai pelumba negara di pentas antarabangsa, berharap kerjasama strategik di antara KBS dan Kerajaan Negeri dalam LTdL 2023 ini akan berterusan untuk penganjuran di masa akan datang.

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,276.8km, bermula pada 23 September di Kerteh, Terengganu, melewati 11 daripada 12 buah negeri di Semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan, iaitu dua pasukan berstatus WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia akan bertanding.

 

Senarai pasukan yang telah mengesahkan penyertaan untuk LTDL 2023:

BIL. PASUKAN KATEGORI NEGARA DIDAFTARKAN
1. ASTANA QAZAQSTAN TEAM UCI WORLD TEAM KAZAKHSTAN
2. EF EDUCATION-EASYPOST UCI WORLD TEAM USA
3. CAJA RURAL-SEGUROS RGA UCI PROTEAM SEPANYOL
4. EQUIPO KERN PHARMA UCI PROTEAM SEPANYOL
5. EUSKALTEL – EUSKADI UCIPROTEAM SEPANYOL
6. GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE UCI PROTEAM ITALI
7. TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA UCI PROTEAM ITALI
8. HUMAN POWERED HEALTH UCI PROTEAM USA
9. TUDOR PRO CYCLING TEAM UCI PROTEAM SWITZERLAND
10. BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING UCI PROTEAM NEW ZEALAND
11, TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL MALAYSIA
12. 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES UCI CONTINENTAL FILIPINA
13. NUSANTARA CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL INDONESIA
14. HENGXIANG CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
15. LI NING STAR UCI CONTINENTAL CHINA
16. GIANT CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
17. ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL AUSTRALIA
18. KSPO PROFESSIONAL UCI CONTINENTAL KOREA SELATAN
19. JCL TEAM UKYO UCI CONTINENTAL JEPUN
20. ROOJAI ONLINE INSURANCE UCI CONTINENTAL THAILAND
21. THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM CONTINENTAL THAILAND
22. MALAYSIA NATIONAL TEAM CONTINENTAL KEBANGSAAN

 

- Advertisement -