Oleh Muhammad Aiman
Hasrat Terengganu untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super tidak kesampaian apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut, kali ini dimalukan 0-2 oleh Polis Diraja Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Rabu.
Ia adalah kekalahan kelima di gelanggang sendiri dan yang kesembilan secara keseluruhan buat skuad yang dibimbing sementara oleh Mustafa Kamal Abdul Wahab itu, menyaksikan mereka terus tergelincir ke kedudukan kesembilan, dan sekadar dua mata di atas zon penyingkiran.
Sang penyu yang sebelum ini tewas 1-6 kepada Kelantan serta 0-2 kepada Perak, kembali diperkuatkan tonggak pertahanan Vincent Bikana di dalam kesebelasan utama dan memulakan perlawanan dengan rentak menyerang hasil gandingan Issey Nakajima, Norsharul Idlan Talaha dan Bogdan Milic di barisan depan.
Namun gol yang dicari tidak terhasil, sebaliknya PDRM bimbingan Fauzi Pilus membuka tirai jaringan pada minit ke-58 menerusi pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin sebelum bekas pemain import Selangor, Guilherme De Paula menjaringkan gol kedua PDRM sepuluh minit kemudian.
Ia adalah kemenangan pertama PDRM dalam saingan liga setelah tujuh perlawanan, dan ironinya pasukan terakhir yang mereka tewaskan sebelum ini adalah Terengganu, ketika menang 3-1 di Stadium Hang Jebat pada April lalu.
Tiga mata yang diraih, menyaksikan PDRM mengumpul 17 mata dan melonjak empat anak tangga ke tangga ketujuh sekaligus menjadikan persaingan di zon penyingkiran yang membabitkan sembilan pasukan lebih menarik berbanding persaingan memburu kejuaraan.
Terdahulu pada Selasa, JDT mengukuhkan cengkaman di tangga teratas dengan 39 mata setelah menundukkan Kelantan 1-0 di Larkin, manakala Felda mengekori rapat dengan dua mata di belakang setelah menundukkan Selangor 2-1 – keputusan yang turut mengesahkan bahawa ianya pertarungan dua penjuru untuk merebut kejuaraan Liga Super edisi ke-13.
Kemenangan yang dilakar oleh tiga pasukan tercorot sebelum ini iaitu Pulau Pinang, Sarawak dan Perak menyaksikan masing-masing memperbaiki kedudukan dalam liga, dan menjanjikan penamat musim yang cukup menarik dan mendebarkan buat peminat bolasepak tempatan. Â