Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) dikerah bekerja keras tiga kali bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 4-4 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) seterusnya menyelamatkan satu mata dalam aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Kuala Lumpur.
THT yang tewas perlawanan pembukaan sebelum tampil garang membelasah Maybank 5-1 pada Ahad lalu, turun dengan misi meneruskan momentum kemenangan namun mendapati TNB dibarisi sepenuhnya pemain tempatan cukup liat untuk ditewaskan.
Meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi sentuhan bekas pemain kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil, kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila TNB mengikat kedudukan menerusi Syed Mohd Syafiq.
Giliran TNB pula mendahului hasil jaringan Norhizzat Sumantri pada minit ke-24, sebelum kedudukan kembali terikat 2-2 menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-27.
Perlawanan semakin rancak apabila TNB bimbingan Amin Rahim kembali mendahului dua minit kemudian menerusi jaringan Muhammad Hafizhudin namun aksi berbalas jaringan berterusan apabila Irfan Aslam menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-32.
Jaringan Syed Ahmad Syafiq pada minit ke-53 hampir menghadiahkan TNB kemenangan pertama setelah tewas dua perlawanan pembukaan namun Nicolas Enrique Della Torre memastikan skuad bimbingan Sarjit Singh meraih satu mata berharga.
Sementara itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menyekat hasrat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut apabila mengikat pasukan itu dengan keputusan 1-1.
KLHC yang sebelum ini menewaskan THT dan Sapura, mendahului pada minit ketiga setelah pakar flick dari Korea Selatan, Hyunwoo Nam menyempurnakan pukulan sudut penalti namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah Muhammad Toseeq Arshad mengikat kedudukan enam minit sebelum tamat permainan.
Dengan tujuh mata, KLHC kekal selaku pendahulu dan jurulatihnya, Muhd Harun Al-Rashid Samri berkata, “Apabila berdepan pasukan yang lebih mudah, kami seperti memberi tekanan kepada diri sendiri. Pasukan saya beraksi dengan baik, pemain menunjukkan komitmen sepertimana dituntut.
“Tetapi apabila tidak menjaringkan gol, ia menghukum kita dan memberi ruang kepada lawan untuk menekan kita. Kita akan berdepan dengan TNB pada Ahad dan kesilapan seperti ini tidak lagi boleh berulang,” ujarnya.
Manakala jurulatih UniKL, Arul Selvaraj pula berkata, “Pemain saya langsung tidak berputus asa dan bekerja keras sepanjang perlawanan. Saya beritahu mereka sebelum perlawanan bermula supaya tidak terlalu menghormati lawan, jangan memberi mereka terlalu banyak ruang.
“Kami turun dengan kepercayaan dan keyakinan tinggi dan keputusan ini adalah satu sejarah bagi kita kerana setahu saya kami tidak pernah lagi seri dengan mereka sebelum ini. Sekarang kami perlu fokus perlawanan seterusnya dan mencari tiga mata.”
Dalam satu lagi perlawanan, jaringan Joel Samul Van Huizen dan Dangerous Lee membantu Sapura kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Maybank 2-1.