Kelantan Warriors menterjemahkan antara aksi terbaik mereka dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2017 apabila tampil bertenaga untuk melakar kejutan ke atas seteru pantai timur Terengganu Turtles pada Sabtu.
Gandingan Hisyam Mat-Aiman Azwawi-Naim Izani Noor mencuri tumpuan ramai di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya dengan mencatatkan kemenangan 2-0 (22-20, 21-19) ke atas regu Terengganu dibarisi Irsyad Faiz Aziz-Ridaudin Ghani-Safarudin Abu Bakar.
Terengganu Turtles memerlukan kemenangan untuk terus memberi tekanan kepada Penang Black Panthers di kedudukan teratas namun tindakan jurulatih Rosmadi Abdul Ghani menyimpan âtaringâ dengan lewat memasukkan dua pemain berpengalaman iaitu Zulkifli Razak dan Hanafiah Dollah nyata memakan diri. Â
Ia adalah kekalahan kedua Terengganu Turtles setelah tunduk kepada Selangor Pistons pada minggu pertama namun mereka masih kekal di tangga kedua manakala bagi Kelantan Warriors pula ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut sekaligus menyaksikan mereka melonjak berada di kelompok empat pasukan teratas.
âSaya masih terkejut dengan kemenangan ini, seolah tidak percaya. Kami turun tanpa sasaran besar kerana kami tahu Terengganu sebuah pasukan kuat dan pilihan mutlak. Kalau dapat mencuri satu set pun sudah dikira sebagai bagus tetapi pemain menunjukkan ketenangan dan keyakinan tinggi untuk bangkit mencipta kemenangan selepas ketinggalan jauh,â menurut jurulatih Kelantan, Baharil Anuar.
Tambahnya, âBayangkan kami ketinggalan enam mata di set pertama sebelum menang 22-20, itu adalah sangat luar biasa. Di set kedua Terengganu memasukkan pemain tonggak mereka Zulkifli dan Hanafiah, tetapi saya gembira kerana pemain tidak gentar dan menunjukkan satu karakter yang baik untuk meraih empat mata berturut-turut dan mengesahkan kemenangan.â Â
Dalam aksi lain, Penang Black Panthers dibarisi trio Syahir Rosdi-Suhairi Sulaiman-Azlan Alias terus garang mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas apabila mencatat kemenangan ketujuh dengan menewaskan Perak Bison 2-0 (24-22, 21-9). Â
Sementara Johor Tigris yang tewas lima perlawanan berturut-turut sebelum ini akhirnya mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan ATM Guardians 2-0 (21-17, 21-13).
Dalam perkembangan Divisyen Satu STL pula, Pahang Mammoth melakar kemenangan kedua dengan menewaskan PSM Knights 2-0 (21-16, 21-16). Sabah Mountaineers turut merekodkan kemenangan kedua dengan menewaskan Melaka Titans 2-1 (9-21, 21-18, 21-13).
Kedah Eagles menang 2-1 (21-11, 18-21, 21-17) ke atas Sarawak, Putrajaya Cyborg mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Perlis Vipers 2-1 (13-21, 21-18, 21-9) manakala PDRM Defenders menewaskan PSM Mavericks 2-1 (15-21, 21-12, 21-10). – OLEH MUHAMMAD AIMANÂ