Setelah berakhir lapan perlawanan, persaingan memburu kedudukan tiga teratas Sepaktakraw League (STL) Premier dilihat semakin sengit.

Pada ketika dua pasukan pilihan, Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles kekal tidak terusik di kedudukan satu-dua sejak minggu pertama, penghuni tempat ketiga pula silih berganti dengan yang terbaru ianya menjadi milik Kelantan Warriors.

Sepertimana diketahui, STL Premier tahun ini menampilkan kelainan dengan tiga pasukan teratas akan layak beraksi di STL Champions League dan berpeluang menguji kehebatan menentang pasukan-pasukan antarabangsa seperti Thailand, Korea Selatan, India dan Indonesia.

Selain Kelantan Warriors, juara Divisyen Satu musim lalu, Perak Bison dan ATM Guardians turut memastikan mereka kekal dalam landasan terbaik menyambar satu slot ke STL Champions League dengan kesemuanya mengumpul lapan mata.

Sementara itu, aksi minggu keempat yang berakhir Ahad lalu menyaksikan nasib berbeza dialami Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles.

Pasukan juara bertahan bimbingan Helmi Ismail itu meneruskan penguasaan mereka di kedudukan teratas dengan dua kemenangan sekaligus mengumpul 14 mata manakala Terengganu Turtles meratapi nasib malang setelah tewas kedua-dua perlawanan kepada Kelantan Warriors dan ATM Guardians.  

Kekalahan Terengganu Turtles menyaksikan mereka kekal dengan 10 mata hasil lima kemenangan namun yang menjadi tumpuan adalah kebangkitan ditunjukkan ATM Guardians. 

Pasukan bimbingan Aswadi Abdullah itu membuktikan cabaran mereka tidak boleh diketepikan apabila bangkit daripada aksi longlai menentang Johor Tigris dalam perlawanan sebelumnya dan tampil cukup bertenaga menundukkan Terengganu Turtles untuk berada di kedudukan kelima.

Selain Kelantan Warriors, Perak Bison dan ATM Guardians yang sedang dalam pertarungan tiga penjuru, naib juara musim lalu Kuala Lumpur Thunder juga dilihat kembali dalam persaingan setelah melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Kelantan Warriors.

Justeru, dengan berbaki hanya enam perlawanan sahaja untuk diharungi, belum ada pasukan yang dilihat sudah mengesahkan tempat di STL Champions League selain Penang Black Panthers yang semakin sukar untuk dikejar.

Situasi ini menyaksikan peluang masih terbuka buat sekurang-sekurangnya lima pasukan memecah ke kelompok tiga terbaik dan aksi minggu kelima yang merupakan aksi terakhir sebelum STL Premier berehat selama seminggu akan memberi gambaran lebih jelas tentang peluang kesemua pasukan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Jadual aksi minggu kelima :

27 Oktober (Jumaat) : Black Panthers lwn Johor Tigris (8 mlm), Perak Bison lwn Kelantan Warriors (9 mlm)

28 Oktober (Sabtu) : Selangor Pistons lwn Terengganu Turtles (5 ptg), KL Thunder lwn ATM Guardians (6 ptg), Kelantan Warriors lwn Black Panthers (8 mlm)

29 Oktober (Ahad) : Terengganu Turtles lwn Johor Tigris (5 ptg), ATM Guardians lwn Perak Bison (6 ptg), KL Thunder lwn Selangor Pistons (8 mlm)

- Advertisement -