Hari pertama Sukan Malaysia ke 17 menyaksikan penguasaan pendayung-pendayung Terengganu dalam acara Kanu di TasikTimahTasoh dengan menyapu lima dari enam emas yang dipertandingkan, sekaligus meletakkan juara empat kali SUKMA itu di kedudukan teratas senarai kutipan pingat.
Lima emas yang diraih Terengganu itu adalah menerusi acara K1 1000m wanita menerusi Nor Azita Ibrahim, K2 lelaki (Muhammad Syukri Hamzah & Ahmad Syafiq Moha), K2 wanita (Fatin Ajeerah & Akmal Idayu) K4 lelaki dan K4 wanita.
Hasrat Terengganu untuk menggondol semua emas yang dipertandingkan di TasikTimahTasoh bagaimanapun tidak kesampaian apabila Mohd KhairolnizaSalleh dari Wilayah Persekutuan menewaskan pendayung Terengganu dalam kategori K1 lelaki.
Sehingga kini Terengganu mengumpul lima emas, satu perak dan satu gangsa.
Pulau Pinang pula seperti di duga menguasai acara karate dengan meraih tiga dari tujuh pingat emas yang dipertandingkan hari ini.
Thomson Hoe memenangi emaspertama di SUKMA ke 17 ini dengan menguasai acara Kata lelaki manakala Celine Lee memastikan emas kedua Pulau Mutiara menerusi Kata wanita.
H.Priya Shankari menghadiahkan emas ketiga Pulau Pinang menerusi Kumite wanita bawah 45kg.
Perak pula meraih 2 emas dari acara Kumite lelaki kategori 60kg menerusi R.Wugindran serta 67kg menerusi S.Thinagaran.
Selangor dan Negeri Sembilan turut meraih satu emas pada hari pertama dari sukan karate.
Hari kedua esok menawarkan 13 lagi pingat emas iaitu dua di acara basikal BMX, lima di gelanggang karate manakala enam lagi bakal menjadi rebutan di acara kanu.