Lagenda bola sepak Johor, Nasir Yusof mengakui jasa Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin yang melahirkan ramai pemain akan terus dikenang meskipun ia tidak lagi menjadi gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal berpindah ke Stadium Sultan Ibrahim pada musim depan.
Jelasnya, stadium itu telah menyimpan seribu satu memori sepanjang kariernya sebagai pemain pada tahun 1980 sehingga 1995 yang pastinya akan terus terpahat di hati.
Justeru, Nasir yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia tahun 1985 dan 1991 tidak menafikan sedikit sebanyak terbit rasa sayu mengenangkan stadium berkenaan tidak lagi akan menjadi tumpuan saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaubagaimanapun, bekas pemain yang digelar “The Professor” itu percaya stadium baharu tersebut pastinya akan mencipta sejarah tersendiri sebagaimana Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos yang telah menjadi saksi pelbagai kejayaan skuad Harimau Selatan termasuk merangkul enam gelaran Liga Super berturut-turut.
“Daripada tahun 1980 hingga 1995, di stadium itulah tempat saya bermandi peluh, mengerah keringat, mencipta semangat dan paling penting tempat saya untuk mendisiplinkan diri ketika bergelar pemain suatu ketika dahulu.
“Di situlah juga tempat di mana saya mencipta karier dan stadium berkenaan telah membawa saya kepada kejayaan yang telah tercipta di mana ia masih diingati hingga kini.
“Memang terlalu banyak kenangan manis dan pahit di stadium itu kerana di situ juga telah mengajar saya untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya.
“Selapas ini, pasukan akan berpindah ke Stadium Sultan Ibrahim dan harapan saya agar skuad JDT tetap akan menyambung legasi kejayaan yang pernah dicipta di stadium terdahulu untuk kita terus mencipta kenangan lebih manis di stadium baharu nanti,” jelasnya.
Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 antara JDT dan Selangor pada Sabtu lalu adalah aksi terakhir pasukan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di mana kemenangan berpihak kepada skuad tuan rumah dengan keputusan 2-1.
Nasir yang turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan menggesa agar JDT meningkatkan prestasi bagi memastikan langkah mereka tidak tersekat di separuh akhir.
Ini kerana beliau menjangkakan juara 33 kali Selangor bakal memberikan tentangan lebih sengit untuk bangkit pada pertembungan kedua.
“Kalau kita lihat perlawanan tempoh hari, Selangor banyak mencipta peluang dan JDT juga banyak mendominasi permainan tetapi tidak konsisten.
“Untuk JDT, kita tahu mereka mempunyai bahagian serangan yang tajam, tetapi perlu diingat bahagian pertahanan juga penting dan perlu memperkemaskan lagi aspek pertahanan dalam perlawanan Sabtu ini,” katanya.