‘Dilucutkan’ hak beraksi dalam saingan Liga Super dan bakal bertindak sebagai ‘feeder club’ bukan alasan untuk Terengganu FC II atau nama lama mereka, T-Team FC untuk mengambil mudah persiapan mengharungi musim 2018.

Mereka tetap bernafsu besar apabila membawa masuk penyerang berbisa Uitm FC, Akanni Sunday Wasiu dan terbaru pasukan itu merekrut bintang Negeri Sembilan, Bruno Suzuki Castanhera.

Kalau diikutkan cadangan asal, sebagai langkah menjimatkan kos dan memperkasa pembangunan dengan memberi peluang kepada anak muda negeri itu, pasukan kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab itu hanya akan menggunakan khidmat dua pemain import yang bermakna slot import mereka sudah lengkap.

Ini diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Menteri Besar Terengganu pada bulan selepas berakhir Kongres Tahunan badan induk itu bulan lalu, yang turut disifatkannya sebagai langkah penjenamaan semula.

Namun, selepas menandatangani Akanni Sunday dan Bruno Suzuki, pengurus pasukan TFC II, Jasmira Othman mendedahkan pasukan itu akan tetap menggunakan empat pemain import musim depan dengan dua pemain lagi akan menyertai pasukan itu pada bulan Januari nanti sekaligus menjadikan laungan Ahmad Razif sekadar sebagai ‘cakap kosong’. 

“Dua pemain itu berasal dari Haiti, masing-masing akan bermain di posisi pertahanan dan tengah. Mereka akan melapor diri bersama TFC II sejurus kontrak bersama pasukan mereka berakhir hujung tahun ini. Kita yakin kehadiran mereka akan menjadikan pasukan ini lebih kuat dan mampu memberi tentangan sengit dalam saingan Liga Premier nanti.

“Walaupun TFC II akan bertindak sebagai ‘feeder club’ kepada TFC I yang bermain di Liga Super, kita tetap mensasarkan musim yang cemerlang dan mahu menamatkan saingan Liga Premier di kelompok tiga teratas,” kata Jasmira.

Dalam pada itu, Bruno, pemain kelahiran Brazil yang menjaringkan 12 gol bersama Negeri Sembilan pada musim ini mensasarkan musim 2018 yang lebih gemilang dan tekad mahu mengulangi sentuhan cemerlangnya itu untuk membantu TFC II muncul sebagai antara pasukan terbaik Liga Premier.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -