Dominasi Malaysia dan Indonesia dalam sukan badminton di rantau Asia Tenggara berpotensi dinoktahkan Thailand di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Tatkala Malaysia mahupun Indonesia mensasarkan gemilang di Kejohanan Dunia Glasgow dan meletakkan rata-rata pemain pilihan kedua beraksi di KL 2017, berbeza dengan Thailand yang dijangka menghantar pasukan terkuat mereka membawa cabaran di temasya dwitahunan itu.

Selain bintang perseorangan wanita, Intanon Ratchanok, kesemua pemain Thailand yang lain tidak akan beraksi di Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung dari 20-27 Ogos justeru membuatkan Persatuan Badminton Malaysia akur betapa pasukan itu bakal menjadi pilihan untuk mengungguli edisi kali ini.

“Pencapaian Thailand di Piala Sudirman baru-baru ini benar-benar membuka mata semua dan memperlihatkan betapa mereka akan menjadi pasukan kuat dan tumpuan di Sukan SEA.

“Mereka ada kekuatan dalam setiap acara di mana pemain terbaik dapat diturunkan malah bagi perseorangan wanita meskipun tanpa Ratchanok, Thailand masih boleh menyandarkan harapan kepada penyandang pingat emas, Busanan Ongbamrungphan (no.12 dunia) dan Nitchaon Jindapol (no.14 dunia),” kata Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen.

Dalam saingan Piala Sudirman di Gold Coast yang melabuhkan tirainya minggu lalu, Thailand melakar sensasi apabila membenam jaguh Eropah yang juga pilihan kedua, Denmark 3-2 di peringkat suku akhir sebelum tunduk di separuh akhir setelah memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan yang kemudiannya muncul juara kejohanan edisi ke-15 itu.

Bagi acara perseorangan lelaki, Thailand bakal meletakkan harapan di bahu pemain nombor 11 dunia Tanongsak Saensomboonsuk tatkala gandingan beregu lelaki dan wanita mereka masing-masing turut menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Rexy Mainaky. 

Sandaran bagi acara beregu lelaki sudah tentunya pasangan di ranking no.9 dunia iaitu Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet manakala beregu wanita pula digalas Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai (no.10) dan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongkai (no.11).

Selain itu, mereka juga mempunyai kelibat juara Terbuka Switzerland, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree (beregu campuran) yang juga pasangan di ranking no.9 dunia untuk dijadikan sandaran.

Malaysia pula walaupun belum memuktamadkan skuad Sukan SEA, tidak akan mempunyai khidmat Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia selain Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (cedera).

Ketika di temasya Singapura 2015, Thailand meraih dua emas (perseorangan wanita dan berpasukan wanita); satu perak (berpasukan lelaki) dan dua gangsa (perseorangan lelaki dan beregu campuran) yang mana merupakan pencapaian terbaik mereka di pentas Sukan SEA.

Indonesia sepertimana lazim pada setiap edisi, muncul juara keseluruhan dengan tiga emas, dua perak dan empat gangsa manakala Malaysia dua emas, empat perak dan dua gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -