SELEPAS menerima baton daripada Menteri Kesihatan dan Sukan Myanmar, Dr Myint Htwe minggu lalu, Larian Baton Bangkit Bersama bersempena temasya Sukan SEA ke 29 dan Para ASEAN ke-9 ?meneruskan penjelajahan ke Bangkok, Thailand?, hari ini (1 April 2017).
Larian peringkat kelima itu juga menandakan acara yang diperkenalkan Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) buat julung kali dalam sejarah penganjuran temasya itu sudah pun melepasi separuh perjalanannya dalam penjelajahan ke semua negara Asia Tenggara.
“Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand, dan Menteri Pelancongan dan Sukan Kobkarn Wattanavrangkul kerana dapat menganjurkan larian baton paling jauh dari segi jarak iaitu lebih 20km.
“Dan penglibatan atlet Olimpik dan Paralimpik mereka yang boleh dikatakan sebagai ikon sukan yang berjaya meraih pingat emas di peringkat tertinggi menunjukkan komitmen amat tinggi kerajaan Thailand dalam menaikkan kesedaran dan semangat Kuala Lumpur 2017,” kata Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.
Larian peringkat kelima sejauh 24 kilometer yang menyusuri sekitar bandaraya Bangkok itu pastinya menjadi sejarah dalam penganjuran sulung Larian Baton bersempena Kuala Lumpur 2017.
Acara bermula dan tamat di perkarangan Stadium tertutup Huamark yang pernah menjadi venue final bagi Kejohanan Futsal FIFA Piala Dunia 2012.
Simbolik perasmian disempurnakan YB Brig Jen Khairy yang menyerahkan baton kepada Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul.
Khairy kemudiannya berlari bersama-sama pelari sokongan sejauh 1.8 kilometer menuju ke checkpoint kedua, Pusat Membeli Belah Ramkhamhaeng.
Baton diserahkan oleh YB Brig Jen Khairy kepada Sutiya Jiewchaloemmit, atlet menembak yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia pada Julai 2016.
Sutiya meneruskan larian sejauh 2.4 kilometer menuju Pusat Motorsikal Harley Davidson yang menjadi hentian ke 3 yang mana baton diserahkan kepada pasukan kebangsaan bola tampar wanita yang diketuai Pelumjit Thinkaow.
Hampir 200 pelari sokongan terdiri daripada atlet sukan bola tampar, turut sama terlibat di sembilan lagi hentian seperti bola jaring, angkat berat, taekwondo, tenis, tinju, sepak takraw dan tenpin boling.
Malah, dua atlet Thailand yang berjaya melakar nama di pentas antarabangsa, Sukanya Srisurat, juara acara angkat berat wanita 58 kilogram di kejuaraan dunia 2015 dan pemenang pingat emas dalam acara yang sama di Sukan Olimpik Rio tahun lalu serta Pongsakorn Paeyo, pemenang dua pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 bagi acara olahraga berkerusi roda 400 meter dan 800 meter (T53) turut melibatkan diri dalam larian baton ini.
Victory Monumen, Siam Paragon, Central World serta Foodlan Supermarket Ramkhanhaeng antara lokasi pelancongan dan tempat bersejarah yang dijadikan sebagai tempat checkpoint bagi larian baton ini.
Foodlan Supermarket Ramkhanhaeng menjadi lokasi pertukaran baton kali terakhir dengan Pongsakorn mengambil peranan sebagai pembawa baton terakhir menuju ke perkarangan Stadium Tertutup Huamark sekaligus melengkapkan 12 checkpoint dengan jarak keseluruhan 24 kilometer.
Baton kemudiannya diserahkan semula kepada YB Brig Jen Khairy oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul.
“Sukan adalah komitmen dan hari ini semua pihak menunjukkan kesungguhan memastikan larian baton berjaya walaupun cuaca hujan pagi tadi.
“Mempertahankan gelaran juara keseluruhan adalah perkara terakhir yang kami fikirkan ketika ini. Apa yang penting adalah kesatuan dan idea daripada YB Brig Jen Khairy amat baik.
“Yang penting adalah sukan untuk semua, jadi kami sukakan acara seperti ini untuk memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menanam minat dan melibatkan diri dalam sukan, agar lebih ramai yang mengamalkan gaya hidup yang sihat,” Kata Kobkarn.
Khairy menyerahkan baton kepada Duta Besar Vietnam ke Thailand Nguyen Tat Thanh. Vietnam akan menjadi venue bagi peringkat keenam pada 9 April ini.
Turut hadir, Gabenor Lembaga Sukan Thailand, Sakon Wannapong, dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain.
Larian Baton Bangkit Bersama merupakan antara legasi Sukan SEA ke-29 yang akan dianjurkan dari 19-31 Ogos 2017 ini.
Baton akan menjelajah ke semua negara yang mengambil bahagian dalam Sukan SEA tahun ini dan di dijangka tamat di Singapura pada 13 Mei 2017 sebelum bermula Larian Obor di Malaysia pada 14 Mei.