Juara bertahan, Thailand dan Malaysia menjanjikan aksi menarik apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan akhir bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi merebut pingat emas di Stadium Shah Alam pada Selasa (29 Ogos).
Di atas kertas, Thailand dianggap sebagai pilihan untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut setelah memenanginya di edisi Myanmar 2013 dan Singapura 2015 sekaligus muncul juara buat kali ke-16.
Malah, rekod pertemuan juga turut menyebelahi Thailand di mana mereka menang tiga perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan termasuk kemenangan 3-0 di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu.
Namun penolong jurulatih Thailand, Naruephon Kaenson berpendapat itu bukan alasan untuk pasukan gajah perang itu mendabik dada dan memandang mudah keupayaan Malaysia.
“Rekod lalu bukan satu jaminan, ia tidak boleh dijadikan pengukur kerana final adalah perlawanan dan suasana yang berbeza. Pasukan yang bijak memanfaatkan peluang dan kurang melakukan kesilapan akan menjadi pemenang.
“Kami perlu bermain seperti biasa. Malaysia pastinya akan tampil lebih berbahaya dan bersemangat dengan dibantu sorakan penyokong tetapi saya percaya pemain kami boleh tangani situasi dengan baik dan tunjukkan kualiti permainan yang bagus untuk muncul juara,” kata Naruephon.
Naruephon turut memaklumkan bahawa kesemua pemainnya bebas dari kecederaan serta penggantungan perlawanan dan boleh diturunkan dalam aksi final.
Bagi pengendali Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee pula, beliau tidak mahu pemainnya gentar dengan reputasi gah Thailand dan menjelaskan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk memenangi ibu segala emas itu.
“Thailand sebuah pasukan yang bagus di semua peringkat umur tetapi di final tiada istilah pasukan pilihan. Saya percaya bermain di hadapan penyokong sendiri adalah satu motivasi terbaik bagi pemain untuk lakukan yang terbaik dan akhiri saingan dengan menangi emas.
“Fokus kita tetap sama mahu turun dengan sasaran untuk menang setiap perlawanan. Kita akan guna pendekatan sama sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini, saya yakin pemain sudah bersedia berikan yang terbaik,” kata Kim Swee.
Untuk aksi final, Kim Swee dijangka kehilangan khidmat S.Kumaahran setelah penyerang Pulau Pinang itu mengalami kecederaan ketika menentang Indonesia di separuh akhir namun pengendali itu mempunyai Jafri Firdaus Chew, N.Thanabalan dan Syafiq Ahmad untuk disandarkan harapan mengemudi jentera serangan.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas di Sukan SEA adalah pada edisi 2011 setelah menundukkan Indonesia menerusi penentuan penalti.OLEH MUHD AIMAN