Juara bertahan Thailand dan Malaysia mengesahkan tempat di separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF di Vietnam setelah masing-masing mencatat kemenangan kedua pada Jumaat.
Tatkala Thailand mengekalkan rentak garang untuk mencatat satu lagi kemenangan besar dengan menjinakkan Timor Leste 17-2, lain pula ceritanya dengan pasukan negara yang dikerah bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 6-3 ke atas Laos dalam aksi di Stadium Tertutup Phu Tho.
Selain mara ke kelompok empat terbaik, kemenangan juga menyaksikan Thailand dan Malaysia layak beraksi di Kejuaraan Futsal Asia 2018 di Taiwan. Kedua-dua pasukan akan berentap sesama sendiri pada Sabtu untuk menentukan juara Kumpulan B.
Thailand yang membelasah Laos 14-0 pada aksi pembukaan, mendahului Timor Leste 12-2 di separuh masa pertama dan menambah lima jaringan di separuh masa kedua.
Gol buat Thailand bimbingan Jose Mendez dijaringkan oleh Osamanmusa (5 gol), Jetsada Chudech dan Peerapol Satsue (3 gol), Soorasak Phoonjungreed (2 gol) serta Chaivat Jamgrajang, Panut Kittipanuvong dan Weerasak Srichai yang menjaringkan satu gol masing-masing.
Satu lagi gol hadir menerusi jaringan sendiri Andre Vong sementara dua gol buat Timor Leste dijaringkan Bruno Gomes.
Sementara itu, Malaysia pula tampil dengan permainan goyah sekali lagi sebelum berjaya mengesahkan kemenangan ke atas Laos.
Skuad bimbingan Chiew Chun Yong mendahului 4-0 dalam tempoh 12 minit pertama menerusi dua jaringan Khairul Effendy Baharin serta satu masing-masing oleh Akmarulnizam Idris dan Muhamad Azri Rahman.
Laos yang memerlukan sekurang-sekurangnya seri untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir memperkemas permainan dan cuba memberi tentangan, hasilnya berjaya mengurangkan defisit jaringan sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi Soulichanh Phasawaeng.
Skuad negara kembali menjarakkan kedudukan menerusi Khairul Effendy yang melengkapkan hatriknya pada minit ke-27 namun Laos tidak mengalah dan berjaya menambah dua jaringan menerusi Soulichanh dan Nidnilanh Chanchaleune.
Harapan pasukan itu untuk menjelmakan kebangkitan dramatik bagaimanapun dinoktahkan Muhamad Azri yang meledak gol keenam pada minit akhir dan kedudukan 6-3 kekal sehingga tamat permainan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN