Thailand memulakan misi mempertahankan pingat emas bolasepak Cerebral Palsy (CP) di Sukan Para ASEAN 2017 dengan kemenangan 1-0 ke atas Myanmar dalam aksi Kumpulan B di Padang C, Majlis Sukan Negara pada Isnin.
Perlawanan yang merupakan ulangan aksi final edisi 2015 di Singapura itu menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan aksi sengit dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Pada ketika perlawanan dilihat hampir pasti berakhir seri tanpa jaringan, Wanna Nattapong muncul wira Thailand apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan.
“Kami turun dengan keyakinan tinggi namun saya akui ada tekanan di awal permainan. Pemain berjaya menyerap tekanan dengan baik, tidak berputus asa memburu gol sehingga minit akhir dan saya gembira untuk bermula dengan langkah kanan,” ujar jurulatih Thailand, Bongkoch Jansukwong.
Pengurus Myanmar, Than Zaw berkata faktor kepenatan dan cuaca panas menyebabkan pasukannya leka dan berputih mata melepaskan gol minit akhir.
“Pemain telah memberikan segala yang terdaya, sudah tentunya seri akan jadi satu permulaan baik tetapi mereka sukar bertahan dalam keadaan cuaca panas, 10 minit terakhir begitu mencabar buat mereka dan mengecewakan untuk melepaskan gol di minit akhir. Kita akui Thailand lebih baik dan perlu segera bangkit.”
Perlawanan seterusnya, Thailand akan menentang Indonesia pada Selasa (19 Ogos) diikuti aksi Myanmar menentang Indonesia pada Rabu (20 Ogos).
Dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung lebih awal di venue sama, tuan rumah Malaysia bangkit bergaya untuk menundukkan Singapura 5-3.
Malaysia ketinggalan 0-2 kepada Singapura hanya selepas lapan minit permainan berlangsung menerusi jaringan ketua pasukan Mubarak Rastam dan Khairul Anuar Kasmani.
Namun skuad negara kendalian Asnan Md Zuki berjaya merapatkan kedudukan menerusi gerakan solo ketua pasukan, Mohamad Sobri Ghazali pada minit ke-28 untuk kedudukan 1-2 di separuh masa pertama.
Empat jaringan menyusul di separuh masa kedua bermula dengan jaringan Muhamad Uthman Surur pada minit ke-34, disusuli dua jaringan Mohamad Sobri yang melengkapkan hatriknya pada minit ke-37 dan 43 serta Khairi Ismail pada minit ke-55.
Satu lagi gol buat Singapura dijaringkan Mubarak pada minit ke-54.
Menurut Asnan, “Saya membuat sedikit perubahan taktikal selepas kita ketinggalan dua gol dan ianya membantu kita kembali semula dalam permainan. Mereka menunjukkan kekuatan mental cukup baik walaupun ketinggalan, bagi pemain-pemain ini adalah penting kita sentiasa memberi semangat dan motivasi.
“Mereka lebih yakin selepas separuh masa kedua bermula kerana mereka tahu kita tidak pernah hilang kepercayaan terhadap mereka. Saya gembira mereka tunjukkan karakter yang cukup mengagumkan dan harap ia dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya.”
Malaysia akan menentang Kemboja pada Selasa dalam aksi seterusnya diikuti aksi terakhir Kumpulan A antara Singapura dan Kemboja pada Rabu.