#Musim 2018 termasuk pusingan di Filipina, Indonesia, Singapura, Malaysia

Kejuaraan SuperMoto FIM Asia yang dinanti-nantikan kembali pada tahun ini dengan litar Nakhonchaisri Thailand menjadi pusingan pembuka tirai musim 2018.

Dijadualkan dari 11 hingga 13 Ogos 2018, pusingan di Thailand ini akan memulakan musim ketiga Kejuaraan dengan barisan pelumba antarabangsa dan pengeluar motosikal terunggul bersedia untuk bersaing pada musim ini.

Berikutan pusingan pertama di Thailand, Kejuaraan SuperMoto FIM Asia 2018 akan beraksi di Quirino Grandstand, Manila di Filipina dari 7 hingga 9 September untuk pusingan kedua.

Pusingan ketiga akan berlangsung di Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur di Indonesia dari 26 hingga 28 Oktober sebelum ke Litar KF1 di Kranji, Singapura untuk pusingan keempat dari 23 hingga 25 November. Pusingan terakhir musim ini akan diadakan di Malaysia dari 30 November hingga 2 Disember.

Edisi ketiga Kejuaraan ini juga akan menyaksikan penyertaan pelumba dari Asia dan Eropah, termasuk Mohammad Khairi Zakaria dan Muhammad Habbibullah Saleh dari Malaysia bersama pencabar Jepun, Makoto Arai dan Pedro Wuner dari Indonesia untuk saingan juara keseluruhan Kejuaraan SuperMoto FIM Asia.

Sementara itu, musim 2018 akan turut menyaksikan saingan antara pelumba ranking keempat di dunia dari Denmark, Simon Vilhelmsen dan juara bertahan 2017, bintang SuperMoto dari Britain, Lewis Cornish untuk gelaran Pelumba Antarabangsa Terbaik,

Selain dari saingan untuk juara keseluruhan, musim 2018 akan juga buat pertama kali menawarkan pelumba peluang untuk bertanding untuk sebahagian dari hadiah wang berjumlah USD $ 70,000.

“Selepas kejayaan musim 2017, Kejuaraan SuperMoto FIM Asia akan kembali untuk musim ketiga pada 2018. Kami amat teruja kerana musim ini bakal menyaksikan aksi yang lebih kompetitif dengan kehadiran beberapa pelumba terbaik di dunia yang bersedia untuk bersaing untuk mengambil gelaran juara pada tahun ini.

“Melalui pertumbuhan dan minat untuk kejuaraan ini yang semakin berkembang, khususnya di rantau ini, kami yakin bahawa para peminat dapat menyaksikan musim yang lebih menyeronokkan dan penuh aksi di 2018!” Kata Andrew Ching, Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd , penganjur dan promoter Kejuaraan SuperMoto FIM Asia.

Peminat juga boleh menyaksikan aksi dari kesemua pusingan musim Kejuaraan SuperMoto FIM Asia 2018 secara langsung melalui rakan kongsi saluran OTT, twenty3.tv dan twowheels.tv. Maklumat lanjut mengenai FIM Asia SuperMoto Championship boleh diperolehi melalui laman sesawang kejuaraan www.supermotoasia.com dan www.facebook.com/FIMAsiaSupermoto

 

Jadual Kejuaraan SuperMoto FIM Asia 2018

Pusingan 1

11 – 13 Ogos

Thailand Circuit, Nakhonchaisri (Thailand)

 

Pusingan 2

7 – 9 September

Quirino Grandstand, Manila (Philippines)

 

Pusingan 3

26 – 28 Oktober

Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur (Indonesia)

 

Pusingan 4

23 – 25 November

Litar KF1, Kranji (Singapore)

 

Pusingan 5

30 November – 2 Disember

Kuala Lumpur (Malaysia)

- Advertisement -