Thailand memenangi pingat emas bolasepak 5-sebelah (cacat penglihatan) Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 setelah menewaskan Laos 3-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.Ā
Kejayaan itu menyaksikan Thailand yang muncul juara pada edisi 2014 di Myanmar merampas semula pingat emas yang terlepas ke tangan Malaysia dua tahun lalu.Ā
Pasukan bimbingan Chaiyaporn Na Ayatthaya itu mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Panyawut Kupan pada minit ketiga dan Kittikorn Baodee pada minit ke-11 sebelum menambah satu lagi jaringan di separuh masa kedua menerusi Kittikorn pada minit ke-31.
Sementara itu, Malaysia menebus kecewa gagal mempertahankan emas dengan meraih gangsa menerusi kemenangan 1-0 ke atas Vietnam di venue sama.Ā
Gol tunggal pasukan negara dijaringkan oleh Ahmad Fikri Omar yang menyempurnakan penalti pada minit ke-38.
Apa kata mereka:Ā
Taweep Piyaroon (pengurus Thailand): Kami datang untuk buat yang terbaik dan pulang dengan emas walaupun ianya tidak selesa untuk bermain di atas padang hoki kerana kami biasanya bermain dan berlatih di padang bola biasa. Apapun bagi saya semua pasukan telah bermain dengan baik, setiap pasukan menunjukkan peningkatan dan saya gembira kami menjadi yang terbaik.Ā
Sunny Shalesh (jurulatih Malaysia): Ia perlawanan yang cukup sengit, Vietnam bermain jauh lebih baik berbanding ketika aksi kumpulan yang mana kita menang 3-0. Beraksi dalam cuaca panas menyukarkan kami menjaringkan gol tetapi seperkara yang kita semua boleh banggakan adalah pemain ini walaupun cacat penglihatan, semangat mereka tidak pernah luntur dan hasilnya kita dapat satu gol.