Kejayaan menewaskan Malaysia 1-0 di perlawanan akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Selasa (29 Ogos) menghadiahkan kejuaraan ke-16 secara keseluruhan kepada Thailand sekaligus mengukuhkan reputasi mereka selaku kuasa besar bolasepak rantau Asia Tenggara.
Pencapaian itu juga menyaksikan rekod kejuaraan skuad gajah perang itu terlalu unggul untuk disaingi tatkala pasukan kedua terbaik di pentas Sukan SEA selepas mereka adalah Malaysia dengan enam kejuaraan.
Namun, tanpa mahu mendabik dada, pengendali Thailand, Worrawoot Srimaka mengatakan bahawa jurang antara kedua-dua pasukan tidaklah begitu besar malah berpendapat Malaysia berpotensi untuk mengugat dominasi mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Malaysia semakin bertambah baik, mereka jauh berbeza dari skuad yang pernah kami tewaskan 4-0 (Piala Dubai B-23) dan 3-0 (pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23). Mereka memberikan tentangan sengit, mencemaskan kami, kredit kepada mereka.
“Walaupun keputusan perlawanan menyebelahi kami dan menjadikan kami terus dominan di Asia Tenggara, saya percaya jurang tidaklah begitu besar. Mereka mempunyai pemain yang bagus, jika mereka terus kompeten dan diberi pendedahan saya percaya Malaysia mampu kembali mengegar Asia Tenggara,” ujar jurulatih yang pernah beraksi di Liga Malaysia bersama Kelantan pada 2002 itu.
Bagi Worrawoot secara peribadi, kejayaan di KL 2017 juga lebih istimewa kerana sebelum ini dia pernah dua kali memenangi emas sebagai pemain di edisi Jakarta 1997 dan Brunei 1999.
Sementara itu, pengendali Malaysia Dato’ Ong Kim Swee pula berpendapat kekalahan di pentas final memberikan satu pengalaman yang cukup berharga buat barisan pemainnya dan berharap ini akan menjadikan mereka sebagai sebuah pasukan yang lebih matang.
“Ini adalah satu daripada proses pembelajaran dan saya pasti pemain akan bangkit dari kekalahan ini. Setiap pengalaman hanya akan menjadikan mereka lebih baik. Perjalanan kita masih jauh, selepas ini ada banyak cabaran menanti termasuk Kejuaraan AFC B-23 di China,” ujar Kim Swee.
Ini adalah kali keempat pengendali dari Melaka itu membimbing pasukan muda negara di pentas Sukan SEA selepas edisi Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung disaksikan lebih 80,000 penyokong di Stadium Shah Alam, Thailand muncul pemenang menerusi kesilapan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli yang tertumbuk bola sepakan sudut Sasalak Haiprakhon ke dalam gawang sendiri pada minit ke-39.
Ia sekaligus mengulangi memori KL 2001 di mana ketika itu, Thailand turut bergelar pemenang menerusi gol yang berpunca dari kesilapan penjaga gol Kamarulzaman Hassan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN