Pengurus pasukan Thailand, Watanya Wongopasi jelas tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya dengan keputusan seri menentang Indonesia dalam aksi pembukaan perlawanan bolasepak Kumpulan B di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Menurut Watanya, pemain-pemain tidak berada pada tahap prestasi sebenar mereka dan tidak menunjukkan keghairahan untuk memburu tambahan jaringan selepas beroleh jaringan awal menerusi Chaiyawat Buran pada minit ke-13.
“Jaringan itu sepatutnya memberikan kami kelebihan untuk menguasai perlawanan. Tetapi itu tidak berlaku. Saya akui kita kurang agresif dan kita kemudiannya dihukum oleh kesilapan memberikan penalti. Kesilapan itu tidak boleh berlaku dalam perlawanan penting dan kami dihukum,” kata Watanya.
Thailand terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah kesilapan pemain pertahanan mereka menjatuhkan Osvaldo Ardilles Haay di dalam kawasan penalti membawa padah, menyaksikan pengadil memberikan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Septian David Maulana pada minit ke-60.
Barisan serangan diterajui penyerang Chenrop Samphaodi juga dilihat kurang menyengat dan tidak banyak mencipta peluang jaringan gol sekaligus menyaksikan kali pertama Thailand gagal memenangi perlawanan pembukaan selepas enam tahun.Â
Watanya bagaimanapun percaya Thailand tidak akan mengulangi aksi longlai sama dalam perlawanan seterusnya bermula dengan menentang Timor Leste pada 17 Ogos dan berkeyakinan tinggi mereka akan tetap mampu menamatkan saingan Kumpulan B selaku juara. Â
“Ini adalah satu pengajaran buat kami akibat bermain sambil lewa dan kehilangan dua mata. Kami akan pastikan meraih tiga mata dalam kesemua empat perlawanan selepas ini kerana saya percaya pemain-pemain kami ada kualiti untuk melakukannya. Kami akan kembali dengan dengan lebih kuat,” ujarnya.
Empat tahun lalu di edisi Myanmar, Thailand merampas semula pingat emas acara bolasepak Sukan SEA dari Malaysia dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir dan mereka mengekalkan emas itu dua tahun lalu di Singapura dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir.
Skuad bimbingan Worrawoot Srimaka itu turun ke KL2017 dengan status sebagai pilihan untuk memenangi pingat emas buat kali ke-16. – OLEH MUHAMMAD AIMAN