Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) mengumumkan senarai awal 27 pemain yang akan menggalas misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki tetapi lapan pemain tonggak mereka yang bermain di luar negara tiada dalam senarai tersebut.

Nama-nama seperti Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan yang bermain di Liga Jepun, penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang bermain di Liga Belgium serta Sarach Yooyen dan Charly Chappuis yang bermain di Liga Switzerland adalah antara pemain berprofil tinggi yang ‘hilang’ dari senarai.

Teerasil merupakan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki dua tahun lalu manakala Chanathip pula merupakan pemain terbaik kejohanan.

Pemain Muangthong United, Siroch Chattong serta bintang Bangkok United Chendrop Sampaodi juga antara yang tidak disenaraikan tatkala tujuh pemain bawah 23 tahun dipanggil memperkuatkan skuad.

Hanya seorang sahaja pemain dari skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 disenaraikan oleh jurulatih Milovan Rajevac iaitu Sasalak Haiprakhon.

Selain itu Rajevac turut menyenaraikan lima pemain berdarah campuran iaitu Philip Roller dan Manuel Bihr (Jerman-Thailand), Marco Ballini (Itali-Thailand), Mika Chunounsee (Wales-Thailand) dan Kevin Deeromram (Sweden-Thailand).

Pemain paling tua dalam skuad Thailand kali ini adalah penjaga gol Buriram United, Siwarak Tedsungnoen yang berusia 34 tahun dan sementara pemain paling muda mereka adalah Supachai Jaided yang berusia 19 tahun, juga beraksi untuk Buriram United.

Sebagai rekod Thailand menjulang Piala AFF Suzuki buat kali kelima dua tahun lalu dengan menewaskan Indonesia 3-2 secara agregat dalam aksi final sekaligus muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah pertandingan.

Dalam saingan kali ini, Thailand diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Timor Leste, Filipina, Indonesia dan Singapura.

Mereka akan membuka tirai saingan dengan menentang Timor Leste di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 9 November disusuli perlawanan menentang Indonesia di Jakarta pada 17 November, Filipina (21 November) dan Singapura (25 November). – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -