Walaupun nama dan popularitinya melonjak ekoran sensasi dicipta pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu, ia tetap tidak membuatkan penyerang muda N.Thanabalan merasakan dirinya sudah cukup bagus untuk digelar âsuperstarâ.
Justeru, pemain berusia 22 tahun yang menjaringkan empat gol di KL 2017 itu yang sedang mencari pasukan baru setelah gagal membantu Felcra FC layak ke Liga Premier musim depan menyatakan kesediaan menyarung jersi mana-mana pasukan tanpa mengira reputasi pasukan itu.
âSaya tidaklah begitu bagus untuk idamkan pasukan yang ada reputasi besar atau berprofil tinggi, pasukan Liga Premier atau Liga Super. Saya akur dengan dengan keupayaan dan kebolehan sendiri, saya tidak akan memilih pasukan. Lagipun saya masih ada kontrak dengan Negeri Sembilan dan belum tahu apa perancangan mereka terhadap saya,â katanya kepada Sports247.
Tambahnya lagi, âFokus penting bagi saya sekarang adalah mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman dan sentiasa belajar, meningkatkan keyakinan, meningkatkan prestasi, menajamkan sentuhan penyudah dan cuba menjadi lebih baik. Saya sentiasa percaya, prestasi yang baik akan membuka peluang kepada tawaran yang baik.
âOrang menilai kita pada prestasi, bukan nama. Kalau setakat ada nama tetapi prestasi tidak seberapa, mungkin karier kita akan bertahan satu atau dua tahun kemudian hilang dari radar. Ramai pemain yang saya kenal, ada juga kawan-kawan saya mengalami nasib begitu.
âSaya tidak mahu begitu, saya mahu membina karier jadi saya sentiasa katakan pada diri supaya tidak tenggelam dengan segala pujian. Saya perlu berpijak pada realiti, saya bukan sahaja mahu jadi penyerang yang bagus, tetapi menghadiahkan kejayaan kepada mana-mana pasukan saya wakili selain pasukan kebangsaan. Saya perlu berusaha, bekerja keras kerana perjalanan saya masih jauh.â
Status Thanabalan, pemain kelahiran Rantau bersama pasukan asalnya Negeri Sembilan berkemungkinan besar hanya akan diketahui selepas saingan Liga Malaysia musim ini menutup tirai.
Spekulasi sudahpun bertiup kencang mengatakan skuad hoben jang hoben mahu menggunakan khidmatnya bagi mengetuai jentera serangan pasukan itu musim depan.
Sepanjang beraksi sebagai pemain pinjaman dengan Felcra kendalian Rosle Derus musim ini, Thanabalan menjaringkan lima gol dan membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Piala FAM sebelum kecundang kepada Sime Darby minggu lalu.
âTerima kasih kepada Felcra yang telah memberi saya peluang yang cukup berharga, orang mungkin tidak kenal saya jika bukan kerana Felcra. Pengalaman ini banyak mematangkan saya dan walaupun buat masa ini saya sendiri tidak tahu ke mana halatuju, saya sedar saingan musim depan pastinya jauh lebih mencabar dan berjanji akan memberikan impak kepada pasukan baru,â katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN