Penyerang sensasi, N.Thanabalan tekad memastikan prestasi dan tahap kecergasannya berada di tahap terbaik agar tempatnya di dalam skuad B-22 negara yang kini dalam persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China pada Januari tidak dicuri pemain lain.
Ketua jurulatih, Datoâ Ong Kim Swee telah memanggil sekurang-kurangnya tujuh pemain yang boleh beraksi di posisi penyerang termasuk dua pemain berusia B-19 â Akhyar Rashid (Kedah) dan Hadi Fayyadh Abdul Razak (JDT II) â justeru membuatkan Thanabalan sedar dia tidak boleh berpuas hati dengan prestasi lalu yang berjaya menjulang namanya.
Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan dua gol ketika pusingan kelayakan Kejuaraan AFC di Bangkok pada Julai dan kemudiannya memainkan peranan penting membantu skuad negara memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos dengan menjaringkan empat gol.
âPrestasi saya sebelum ini tidak boleh dijadikan pengukur. Sudah tentu jurulatih mahu bawa pemain yang betul-betul menyerlah dan menepati kehendaknya ke China. Jadi semua perlu bekerja keras, sekarang ada tujuh atau lapan pemain penyerang di dalam pasukan, ia bukan satu tugas mudah tetapi persaingan sebegini adalah normal.
âWalaupun saya tidak terlibat dengan mana-mana aksi kompetitif selepas separuh akhir Piala FAM bersama Felcra (awal Oktober), saya tetap fokus menjaga kecergasan dan memperbaiki sentuhan penyudah supaya lebih tajam seterusnya dapat meyakinkan jurulatih untuk menyenaraikan saya dalam senarai akhir 23 pemain nanti.
âKeinginan saya cukup tinggi mahu beraksi di sana, menjaringkan gol dan membantu pasukan negara mara sejauh mungkin di kejohanan tersebut, walaupun kita akan berdepan cabaran yang agak berliku menentang pasukan pilihan seperti Iraq dan Arab Saudi,â kata Thanabalan ketika dihubungi Sports247.
Penyerang lain yang turut disenaraikan Kim Swee dalam senarai awal 30 pemain yang dipanggilnya untuk kem latihan pusat di Wisma FAM adalah Safawi Rasid (JDT), Syafiq Ahmad (Kedah), Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) dan Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan).
Pasukan negara akan menjalani latihan selama tiga minggu di Wisma FAM dan kemudiannya terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 November untuk latihan pusat di sana selama dua minggu, sebelum terbang ke Nanjing, China untuk latihan pusat terakhir di sana selama lapan hari.
Sebagai makluman, Malaysia yang kali pertama layak ke pusingan akhir itu akan membuka tirai saingan Kumpulan C dengan menentang Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) â dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN