Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan, Felda United mencatat kemenangan sulung dalam penampilan di Piala AFC selepas menewaskan wakil dari Filipina, Ceres Negros 3-0 pada aksi Kumpulan G di Stadium Shah Alam, petang tadi.

Jaringan pembukaan hadir sewal minit keenam menerusi Muhammad Syahid Zaidon hasil rembatan dari luar kotak penalti, melepasi jangkauan penjaga gol pelawat, Rolland Muller.

Kedudukan itu hanya berubah menghampiri penghujung babak kedua perlawanan, kali ini giliran Mohamad Hadin Azman yang bijak menyudahkan hantaran Norshahrul Idlan Talaha melakar nama selaku penjaring untuk gol kedua Felda United pada minit ke-65.

Pemain gantian, Mohamad Fazrul Hazli menutup sisa perjuangan pasukan pelawat dengan jaringan ketiga selepas memanfaatkan kesilapan Muller yang gagal menangkap kemas bola di minit ke 76 untuk kedudukan 3-0.

Tiada jaringan tambahan dilakar sekaligus memberikan tiga mata pertama buat skuad kendalian B Sathianathan dalam saingan Piala AFC.

Sathianathan tetap optimis peluang untuk mara ke pusingan seterusnya masih ada, namun bergantung pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Walaupun menang 3-0, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya yakin kami akan berjaya mara ke pusingan kedua kerana peluang masih terbuka dan perlawanan menentang Tampines Rovers selepas ini akan menjadi penentu,” kata B Sathianathan.

Jurulatih Ceres Negros, Risto Vidakovic menyifatkan jaringan kedua menyentap semangat juang anak didiknya dan Felda ternyata memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih kemenangan.

“Felda adalah pasukan yang lebih baik dan menjaringkan gol awal yang memaksa kami mengubah perancangan. Gol kedua itu terus membunuh semangat kami,” katanya.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan G melibatkan Tampines Rovers dijadual berlangsung pada 19 April di Stadium Shah Alam.

- Advertisement -