Bekas tonggak Terengganu FC, Thierry Chantha Bin mengakui rindukan saingan Liga Malaysia sambil menyifatkan pertandingan itu semakin menjadi tumpuan terutamanya selepas melakukan penstrukturan semula musim depan.
Antara yang menjadi perhatian pemain kebangsaan Kemboja ini adalah mengenai format baharu pendaftaran sembilan pemain import yang diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super di mana sebelum ini penggunaan sembilan pemain import hanya melibatkan skuad yang memiliki pasukan simpanan (Reserve Team).
Baginya yang telah beraksi di pentas Liga Malaysia bersama Terengganu dan juga Perak sejak musim 2018 sehingga 2020, perubahan yang akan dilaksanakan selepas ini akan memberikan banyak kelebihan terutamanya daripada segi persaingan sihat antara pemain.
Bahkan, dia sendiri telah merasai pengalaman yang luar biasa di Malaysia dan sudah pasti penstrukturan seperti ini akan menjadikan pemain-pemain import lebih berdaya saing bukan sahaja antara mereka malah antara pemain tempatan lain.
“Saya rasa perubahan ini akan menjadikan liga itu lebih berdaya saing sebab sudah tentu sebagai pemain, kita ingin bermain lebih banyak perlawanan, jadi inilah masanya.
“Saya percaya pasukan yang bertanding akan berjuang sehabisnya dan sudah tentu akan ada kelab yang bertahan malah akan ada kelab juga yang akan menjadi lebih kuat, ini sangat bagus untuk pemain.
“Kuota pemain import juga akan bertambah dan secara tidak langsung, ia akan menjadikan tahap saingan liga ini akan meningkat dengan persaingan yang ada.
“Jujurnya bagi saya, ketika saya bernain di sini bersama Terengganu dan Perak, suasananya sangat positif dan ia merupakan pengalaman yang menakjubkan.
“Saya gembira sebab bola sepak di sini sangat membangun dari segi kualiti, penyokong dan infrastruktur, jadi memang memori yang indah untuk saya”, katanya.
Pemain kacukan Kemboja-Perancis ini pernah meraih naib juara Piala Malaysia bersama Terengganu pada musim 2018 sebelum berhijrah ke Perak pada 2020.
Dia telah meninggalkan Liga Malaysia pada musim 2021 dan kini bersama pasukan Visakha FC.