Oleh Ku Mohd Lufti
Terengganu Hockey Team (THT) memilih detik terbaik untuk melonjak ke kedudukan teratas saingan TNB-Liga Hoki Malaysia buat kali pertama musim ini setelah beraksi garang menundukkan pendahulu, Sapura 4-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Setelah mengharungi musim yang agak suram, skuad juara bertahan bimbingan Sarjit Singh itu kini di laluan tepat mengekalkan trofi liga buat musim ketiga berturut-turut dan kemenangan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi terakhir Ahad ini akan mengesahkan kejuaraan milik mereka. Â
Berdepan Sapura, THT kembali berada pada prestasi terbaik mereka dengan penyerang import dari Korea Selatan Jang Jong Hyun meledak jaringan hatrik pada minit ke-6, 10 dan 24 sebelum penyerang sensasi Faizal Shaari menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-48.
Jaringan Firhan Ashaari pada minit ke-59 sekadar saguhati buat Sapura bimbingan Yahya Atan yang baru sahaja muncul juara Piala Tan Sri P. Alagendra dengan menewaskan TNB dalam aksi final pada Selasa lalu.
“Saya boleh katakan ini adalah aksi terbaik pemain-pemain saya bagi tahun ini yang membolehkan kami melonjak ke tangga teratas buat pertama kali. Dengan TNB turut melakar kejutan besar ke atas KLHC, saya melihat peluang kami cerah untuk pertahankan kejuaraan. Sudah tentunya pemain saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini,” kata Sarjit.
Berbaki satu perlawanan untuk ditamatkan, THT mengumpul 19 mata, satu mata mengatasi Sapura dan dua mata mengatasi Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang menerima tamparan hebat dalam buruan kejuaraan setelah kecundang 1-2 kepada TNB.
Maybank yang menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 1-0 pula kekal di tangga keempat dengan 10 mata.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Jalan Pantai, TNB mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan liga hasil jaringan Hafizhudin Zaidi dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi masing-masing pada minit ke-52 dan 54.
Kemenangan tidak merubah kedudukan TNB di kedudukan tercorot dengan enam mata dan jurulatihnya, Mohd Amin Rahim berkata, “Kami bermain untuk maruah setelah tidak menang dalam lapan perlawanan yang lepas. Tiada sebarang niat untuk menafikan peluang KLHC mencabar kejuaraan, ia semata-mata kerana tidak mahu imej dan maruah TNB terus tercalar.
“Dan kami mahu ulangi permainan seperti ini dalam aksi terakhir menentang THT. Biarpun secara kasarnya kami sudah tersingkir dari perebutan ke separuh akhir Piala TNB, kami tetap akan beri tentangan sengit agar dapat menamatkan musim dengan kemenangan.”
KLHC pula masih mempunyai peluang mengintai kejuaraan, namun perlu mengharapkan TNB dan Maybank masing-masing menang ke atas THT dan Sapura manakala mereka sendiri perlu menewaskan UniKL, Ahad ini.