PRESTASI atas kertas dan keputusan Liga nyata berpihak pada UniKL tetapi THT, yang memburu kejuaraaan ke-enam Piala TNB, bakal turun dengan kekuatan berbeza dalam usaha menyekat impian treble penyandang juara itu apabila bertemu pada final Piala TNB di Stadium Nasional Hoki malam esok. 

Jurulatih THT K. Rajan berkata selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan sejak 11 Mac lepas, beliau dapat melihat dengan jelas peningkatan prestasi anak buahnya sambil menyatakan mereka kini sudah berada di kemuncak prestasi.

“Kami sudah bersedia mengekang kemaraan dan impian UniKL untuk menjulang Piala TNB dan mencatat kejayaan treble mereka. Saya akui kekuatan UniKL sebagai juara dua piala setakat ini tetapi di final esok, ceritanya berbeza, apa saja boleh berlaku,” kata Rajan.

Beliau melihat peluang sama rata kedua-dua pasukan dengan masing-masing mempunyai kelebihan terutama dengan kehadiran pemain senior dan junior kebangsaan. 

“Semasa kalah di tangan UniKL dalam saingan Liga sebelum ini, ia merupakan perlawanan kedua THT dan ketika itu, kami masih tercari-cari rentak. Kini selepas bermain dalam sembilan perlawanan sejak 11 Mac lepas, keadaan sudah berbeza.” kata Rajan lagi.  

Beliau juga tidak menafikan kehebatan jentera barisan serangan UniKL seperti Razie Rahim tetapi THT juga, katanya, mempunyai senjata serangan prolifik yang dikemudi penjaring terbanyak dan ketua pasukan Faizal Saari.

Faizal berkata,  semangat pemain kini berkobar-kobar untuk memastikan Piala TNB kembali ke almari trofi THT selepas tewas di tangan UniKL tahun lepas.

“Kedua-dua pasukan sama kuat, yang penting sekarang menanam keyakinan dan meniup aura positif di kalangan pemain. Sebagai ketua pasukan, itulah tanggungjawab yang perlu saya lakukan untuk pastikan kemenangan esok,” kata Faizal. 

Bagi pengendali UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi, beliau gembira kerana mempunyai pasukan yang bebas kecederaan selain dapat menurunkan barisan terkuat untuk final esok. 

“Semua sudah siap sedia…saya sedar tahap prestasi THT meningkat pada tiga perlawanan lepas dan ini bermakna, mereka akan turun dengan kekuatan yang berbeza. Jadi memang peluang sama rata,” kata beliau. 

Selain memastikan kejayaan treble dapat diulangi, kejayaan esok pastinya melonjakkan status Megat Azrafiq sebagai jurulatih muda skuad UniKL yang berkaliber. 

“Yang penting sekarang ialah prestasi konsisten UniKL dapat diteruskan dan saya yakin, dengan semangat berpasukan dan hubungan rapat antara pemain dan pengurusan menjadi kunci utama kepada kejayaan setakat ini,” kata beliau. 

Ketua pasukan UniKL Muhammad Marhan Jalil pula berkata hanya mentaliti kemenangan yang positif menjadi elemen utama dan motivasi terbaik buat pemain untuk melakar kejayaan esok. 

“Saya harap, komitmen dan semangat yang dipamerkan semasa meraih kemenangan mengetasi TNB pada separuh akhir kedua pada Khamis lepas dapat dibawa ke final esok,” kata penjaring tiga gol itu. 

- Advertisement -