Bukan memperlekeh kemampuan pencabar lain, namun tidak keterlaluan untuk mengatakan skuad bolasepak negara mendapat undian yang cukup mudah di peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 apabila diundi bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan A.

Kumpulan B lebih sengit dengan juara bertahan Thailand dan finalis 2016, Indonesia akan berentap bersama-sama dengan Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan (Timor Leste/Brunei).

Justeru di atas kertas, tiada alasan untuk skuad bimbingan Tan Cheng Hoe untuk gagal sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir, malah mungkin juga mara ke final sekali lagi sekaligus menebus aib dua tahun lalu di Myanmar.

Ketika edisi 2016, Malaysia yang turun dengan reputasi finalis 2014 berputih mata gagal melepasi saingan peringkat kumpulan setelah sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan B gara-gara kekalahan 0-1 masing-masing kepada Vietnam dan juga tuan rumah. Hanya satu kemenangan direkodkan iaitu 3-2 ke atas Kemboja.

Untuk edisi kali ini, berada di kelompok dua teratas tidaklah sukar untuk direalisasikan – hanya Myanmar yang dilihat berpotensi untuk menjadi pengacau sekali lagi, selain jarak perjalanan yang perlu diharungi untuk menghadapi dua perlawanan di tempat lawan (Kemboja dan Vietnam).

Skuad negara memang belum berada pada prestasi yang boleh dibanggakan, tetapi Cheng Hoe telah membuat rombakan besar yang akhirnya berjaya menoktahkan kemarau kemenangan lebih setahun ketika menewaskan Bhutan 7-0 awal bulan lalu.

Meskipun ia bukanlah satu indikasi untuk mengatakan bahawa bolasepak negara sudah semakin maju, setidak-tidaknya ia adalah satu tonik buat Cheng Hoe sendiri untuk mencatur satu strategi dan mempersiapkan skuad idaman yang boleh kembali meletakkan Malaysia sebagai pasukan terbaik rantau ASEAN.

Apa yang penting, Cheng Hoe perlu berani membuat keputusan mengetepikan pemain senior atau yang berprofil tinggi dan tidak terlalu sentimental kepada sumbangan lalu jika mereka tidak menyumbang kepada pasukan, sama seperti yang dilakukannya ketika perlawanan menentang Bhutan.

Dengan begitu ramai pemain-pemain muda semakin hari semakin menonjol antaranya Akhyar Rashid (Kedah), Hadi Fayyadh (JDT II), Nik Akif Syakiran Nik Mat (Kelantan), R.Kogileswaran (Pahang) dan ramai lagi, adalah diyakini Cheng Hoe sebenarnya mempunyai pilihan pemain yang cukup ramai dan dapat menyediakan sebuah pasukan energetik bermentaliti juara.

Dengan gaji para pemain boleh dikatakan termahal di rantau Asia Tenggara, adalah memalukan jika berada di kelompok empat terbaik gagal direalisasikan, sekali lagi.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -