Oleh Muhammad Aiman
Malaysia menamatkan hari pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan pada Khamis tanpa kilauan emas tetapi tetap boleh berbangga apabila tampil dengan persembahan bertenaga untuk merangkul sebutir pingat perak dan lima gangsa.
Pelari muda berusia 18 tahun, Shereen Samson Vallabouy muncul satu-satunya pemenang pingat perak menerusi acara 400m setelah mencatat masa 55.28s, tewas kepada atlet Vietnam Thi Ngoc Huang yang meraih emas dengan melakar 53.79s manakala rakan senegara Nurul Faizah Asma Mazlan berpuas hati dengan meraih gangsa.
“Ianya adalah acara 400m pertama bagi saya sejak memenangi gangsa di Sukan Sea Singapura pada Jun tahun lalu. Saya gembira kerana tidak mengewakan ibu saya melalui pencapaian ini,” ujar Shereen yang berlatih di bawah bimbingan ibunya Josephine Mary yang juga bekas pelari kebangsaan sejak tiga bulan lalu.
Sementara itu, empat lagi pingat gangsa kontijen Malaysia disumbangkan oleh Jonathan Nyepa, Siti Fatimah Mohd, Jackie Wong dan Muhammad Azam Masri.
Jonathan menyumbangkan gangsa menerusi acara 100m dengan catatan masa 10.55s, ketinggalan 0.21s di belakang pemenang pingat emas dari Fiji, Banuve Tabacaokoro.
Pelari pecut nombor satu negara, Badrul Hisyam Abdul Manap yang meraih emas di Terbuka Filipina bulan lalu sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan catatan 10.57s.
Dalam acara 100m wanita, Malaysia mempunyai tiga wakil di final namun hanya Siti Fatimah berada di kedudukan podium dengan catatan masa 11.87s. Pingat emas menjadi milik atlet India, Dutee Chand manakala pingat perak pula digenggam atlet tuan rumah, Liaojing Xian.
Pemenang emas di Terbuka Singapura, S.Komalam Shelly berkesudahan di tempat keempat dengan catatan 11.89s manakala Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Azam pula menghadiahkan gangsa menerusi acara 400m, tewas kepada pelari Amerika Syarikat, Clayton Parros dan pelari Jamaica, Akheem Gauntlett dengan catatan masa 47.41s – catatan yang tersasar jauh dari rekod peribadi terbaiknya 46.90s.
Manakala Jackie menyumbang gangsa menerusi acara baling tukul besi, setelah melakukan lontaran sejauh 63.15m.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Taoyuan City ini akan menutup tirai pada hari ini, dengan mempertandingkan 25 lagi pingat emas untuk dimenangi.